Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Inkubator SmartSelangor INPENS lahir graduan berkemahiran

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 JAN: Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) terus menambah Inkubator SmartSelangor dalam usaha melahirkan graduan kemahiran, sekali gus menyertai keusahawanan.

Pembukaan Inkubator SmartSelangor terbaru di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, yang menawarkan perkhidmatan gunting rambut dan jahitan adalah komitmen kolej itu bagi memberi peluang kepada graduan menimba ilmu dan berdikari dalam kerjaya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, perancangan INPENS itu adalah baik dan lokasi dipilih bersesuaian kehendak pasaran.

“Kita lihat ramai jemaah masjid memerlukan khidmat gunting rambut tetapi mereka perlu ke kedai di luar sana sedangkan mereka boleh mendapatkan perkhidmatan itu ketika menunaikan solat di masjid ini.

“Peranan masjid sebagai institusi keagamaan terus diperkasakan melalui kaedah ini kerana sesebuah masjid bukan sahaja tempat mendirikan solat tetapi berperanan sebagai gedung ilmu dan diskusi,” katanya selepas merasmikannya, pada Disember lalu.

Inkubator SmartSelangor INPENS di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh adalah yang kelima menggunakan dua unit kontena untuk menjalankan operasinya.

Pengurus Komunikasi Korporatnya, Jefri Mejan berkata, sebelum ini INPENS membuka empat yang lain di Meru, Sijangkang, Batang Kali dan Sungai Besar.

“INPENS merancang membuka beberapa Inkubator SmartSelangor di lokasi berpotensi dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran.

“Ini kerana kebergantungan kepada ‘makan gaji’ sudah semakin tipis dan graduan berkemahiran boleh bekerja terus apabila tamat pengajian,” katanya.