Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

IWB: 11 negeri terima memorandum gender & reformasi

 

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 JAN: 11 negeri terima memorandum gender dan reformasi dari Institut Wanita Berdaya (IWB) bagi mewujudkan Kerusi Tanpa Kawasan Untuk Wanita (KTKW) dalam setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Penasihat dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, antara 11 negeri itu adalah Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Memorandum ini diberi kepada 11 negeri untuk mereka mengangkat dan mengusulkan di perlembagaan masing-masing bagi melantik golongan wanita sebagai wakil rakyat seterusnya mewujudkan KTKW.

“Setakat ini Selangor sudah berjaya mencapai 30 peratus penglibatan wanita dalam politik, namun negeri lain masih belum mencecah angka berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Ramah Mesra Hi-Tea Bersama Media sempena tahun baru 2018 : Usher in The New Year and #PressForProgress with IWB di Hotel Concorde, di sini.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Pengarah IWB, Haniza Talha.

Berdasarkan kenyataan, penglibatan wanita sebagai wakil Ahli Dewan Negeri (ADN) di setiap 11 negeri berkenaan masih sedikit iaitu Sabah (6.7 peratus), Sarawak (7.1 peratus), Kelantan (6.7 peratus), Kedah (11.1), Johor (16.1 peratus), Pahang (11.9 peratus), Melaka (7.1 peratus), Perak (11.9 peratus), Perlis (13.3 peratus), Negeri Sembilan (5.6 peratus) manakala Terengganu (0 peratus).

Zuraida berkata, kadar itu jauh lebih rendah daripada purata kebangsaan dan jauh lagi daripada penanda aras antarabangsa iaitu 30 peratus.

“Salah satu faktor penting menyebabkan kemunduran Malaysia meskipun mengikut piawaian Asia Tenggara adalah sistem pilihan raya Sistem Wakil Tunggal dengan Undi Terbanyak (First-Past-The-Post).

“Untuk menamakan lebih banyak calon wanita kita perlukan sistem pilihan raya yang melantik lebih daripada seorang wakil untuk sebuah kawasan iaitu Perwakilan Berkadar,calon dinamakan dalam bentuk senarai dan boleh diselang-seli dengan calon lelaki,” katanya.

Pada masa sama, Zuraida turut menyampaikan cenderahati kepada media yang hadir sebagai tanda penghargaan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan menyebarkan berita-berita kepada masyarakat.

Zuraida turut berkata, program itu dilaksanakan bagi memberdaya golongan media supaya dapat memainkan peranan sebagai ejen propaganda dan mengangkat isu-isu kejayaan wanita seiring dengan era masa kini.

“IWB ingin mengambil peluang untuk menghargai dan memupuk hubungan baik dengan media supaya potensi yang ada pada wanita dapat dilonjakkan,” katanya.