Categories
AGENSI SELANGOR

Manis landasan terbaik jamin masa depan wanita

SHAH ALAM, 31 OKT: Penubuhan Majlis Wanita Selangor (Manis) tahun hadapan mampu menghasilkan polisi terbaik jangka panjang menjamin golongan wanita.

Ketua pegawai eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB) berkata melalui penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi, platform itu akan mendapat input berkesan hasil idea dilontarkan semua pihak.

“Mereka boleh bersuara dan memberi pandangan masing-masing. Pendapat mereka akan dikaji untuk dijadikan dasar.

“Oleh itu kita mengalu-alukan penyertaan mana-mana NGO dan agensi. Matlamat kita mahu memberdayakan wanita dalam semua aspek,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki ketika dihubungi hari ini.

Melalui Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penubuhan Manis bagi memperteguh agenda martabat wanita negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata Manis akan merangka dasar pemberdayaan wanita meliputi ekonomi, sosial, politik dan budaya.

Categories
AGENSI SELANGOR

IWB: Masyarakat mula terima pendidikan seksual diajar dari awal

SHAH ALAM, 17 SEPT: Masyarakat semakin terbuka menerima pendidikan seksual diajar dari sekolah rendah berbanding 10 tahun dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor berkata berdasarkan kaji selidik isu pembuangan bayi dijalankan di media sosial, seramai 95 daripada 112 respondan menyarankan anak-anak perlu diberi pendedahan mengikut silibus sesuai.

“Ini mengejutkan namun merupakan perkara positif. Sebelum ini ramai ibu bapa tidak mahu pendidikan serta kempen seksual didedahkan kepada anak-anak mereka.

“Faktor masalah sosial mungkin menyebabkan mereka terbuka selain yakin guru serta pakar mampu mendidik dan memberi lebih kefahaman,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada SelangorKini baru-baru ini.

Menurutnya hasil kaji selidik yang dibuat dari 10 hingga 14 September itu, tindakan segera juga perlu dilakukan susulan orang ramai mahu ibu bayi bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan mereka membuang bayi.

“110 respondan iaitu 98.2 peratus meletakkan tanggungjawab dan menyalahkan ibu bayi berkenaan sedangkan kebanyakan mereka membuang bayi berusia bawah umur.

“Jadi apakah yang mereka faham dengan tanggungjawab? Sebab itu kita mahu penyelesaian dibuat supaya mereka tidak disalahkan sepenuhnya,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Sembilan wanita akademi kepimpinan dilatih, lahir pemimpin mahir

SHAH ALAM, 20 OGOS: Seramai sembilan mentee dari Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) kini menjalani latihan asas kepimpinan sebagai persiapan menjadi pemimpin berkebolehan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang.

Rozana Zainal Abidin berkata semua peserta wanita di bawah seliaannya itu menyertai sesi kurikulum dua bulan bermula Ogos ini adalah inisiatif AKW untuk mereka berketrampilan berani, mahir dan cekap dalam memimpin organisasi.

“Sepanjang tempoh itu, saya selaku mentor akan mendidik kesemua mentee ini dengan pendedahan kepada praktikal dan teori mengenai kemahiran organisasi, kepimpinan politik serta kemahiran insaniah.

“Pengalaman saya selaku ADN dan penyelaras Dewan Undangan Negeri akan dijadikan contoh buat mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Rozana berkata kesemua mentee akan dibawa turun padang untuk melihat dan merasai sendiri situasi sebenar di lapangan.

Sesi mentor mentee AKW adalah inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Institut Wanita Berdaya yang ditubuhkan bagi mencungkil bakat wanita dan mendidik mereka menjadi pemimpin.

Categories
AGENSI SELANGOR

IWB perluas latihan bantu golongan wanita terjejas pendapatan

SHAH ALAM, 6 JULAI: Latihan Siri Usahanita Selangor bakal diperluas untuk membantu golongan wanita di negeri ini yang hilang pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua pegawai eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB) berkata latihan secara dalam talian itu meliputi panduan menulis resume, membina keyakinan diri, kursus motivasi dan kelas menjana pendapatan.

“Kita juga sedang bekerjasama dengan EXCO pambangunan usahawan (Rodziah Ismail) untuk menganjurkan program fizikal iaitu kursus secara bersemuka berkaitan keusahawanan,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada SelangorKini.

Pada April lalu, IWB menganjurkan tiga latihan dalam Siri Usahanita iaitu Kursus Keusahawanan Dalam Talian, Kursus Asas Youtube dan Cara Urus Duit dengan lebih 1,000 penyertaan.

Institusi itu menyasarkan wanita yang berkecimpung dalam bidang perniagaan Industri Kecil dan Sederhana atau mereka yang mahu tambah pendapatan menyertai siri latihan tersebut.

Categories
AGENSI SELANGOR

IWB sasar 500 peserta sertai Program Keluarga Harmoni

SHAH ALAM, 10 MEI: Institut Wanita Berdaya (IWB) menyasarkan 500 peserta mengikuti 11 Siri Program Keluarga Harmoni yang diadakan sejak 8 Mei hingga 9 Jun ini melalui aplikasi Zoom di Facebook institusi tersebut, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Siti Kamariah Ahmad Subki berkata IWB program itu membincangkan tiga modul utama berkaitan komunikasi berkesan, resolusi konflik dan pengurusan kewangan dalam keluarga oleh penceramah berpengalaman.

“Objektif program ini untuk beri pendedahan dan cara pengurusan krisis kepada ilmu praktikal seperti kewangan, komunikasi dan pengendalian konflik bagi menghadapi cabaran rumah tangga sewaktu dan pasca krisis Covid-19.

Justeru, Siti Kamariah berkata pendedahan ilmu ini diharap dapat beri kesedaran kepada peserta bagi mendapatkan pencerahan mengenai hak dan tanggungjawab mereka berdasarkan setiap siri yang dianjurkan.

 

Berikut senarai Siri Keluarga Harmoni:

Pengurusan Kewangan (Ahmad Firdaus Mohd Nor dan Dr Muhammad Hanif Yahaya – JS Associates)
8 Mei 2020 (Isnin), Bantuan Semasa Covid-19, 3 petang – 4 petang
15 Mei 2020 (Jumaat), Perlu ke Merancang Kewangan? 3 petang – 4 petang
22 Mei 2020 (Jumaat), Mengawal Aliran Tunai dalam Krisis Covid-19, 3 petang – 4 petang
29 Mei 2020 (Jumaat), Jimat Cermat, Kurangkan Belanja, 3 petang – 4 petang
5 Jun 2020 (Isnin), Susun Kembali Hutang Anda, 3 petang – 4 petang

Resolusi Konflik (Fahda Nur Ahmad Kamar- firma Fahda Nur & Yusmadi)
8 Mei 2020 (Jumaat), Membina Perisai Diri – Memahami Hak Sebagai Benteng Konflik,
2:30 petang – 4:30 petang
11 Mei 2020 (Isnin) Meniti Langkah Berani – Siap Siaga Hak – Kunci Resolusi Konflik,
2:30 petang – 4:30 petang

Komunikasi Berkesan (Ivy Tan- SOLS Health)
12 Mei 2020 (Selasa), Pengurusan Kesihatan Mental Semasa PKP, 11: pagi -12 tengah hari
19 Mei 2020 (Selasa), Keluarga Akrab Mengharungi PKP: Teknik LUV, 11: pagi -12 tengah hari
2 Jun 2020 (Selasa), Keluarga Akrab Mengharungi PKP: Puji Memuji dan Berkomunikasi secara Berkesan; 11 pagi -12 tengah hari
9 Jun 2020 (Rabu) Keluarga Akrab Mengharungi PKP: Rumah Kami Tanggungjawab Bersama, 11 pagi -12 tengah hari

Categories
AGENSI SELANGOR

Kenali isu ganas rumah tangga, seminar IWB bermula esok

SHAH ALAM, 1 MEI: Institut Wanita Berdaya (IWB) menganjurkan Siri Sihat Selamat Selangor yang memfokuskan isu keganasan rumah tangga bermula esok hingga 20 Mei depan.

Agensi itu memaklumkan seminar dalam talian dengan kerjasama Organisasi Pertolongan Wanita (WAO) akan membincangkan isu keselamatan khususnya bagi kaum hawa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang boleh ditonton menerusi aplikasi Zoom dan Facebook Live IWB.

“Rumah adalah tempat berehat dan peluang untuk berasa selamat bagi ramai orang. Tetapi tak semua mempunyai rasa sedemikian,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Program Siri Sihat Selamat Selangor itu akan bermula esok dengan siri pertama, ‘Kenali: Oh, Macam Itu Rupanya Keganasan Dalam Keluarga’ bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Ia diikuti pada 6 Mei, dengan siri kedua, ‘Kendali: Bila Ada Keganasan Dalam Keluarga, Kita Nak Buat Apa Ya?’ dan siri ketiga (13 Mei) dengan tajuk, ‘Kaitkan: Siapa Lagi Yang Patut Tolong Bila Ada Keganasan Dalam Keluarga?’.

Manakalaa pada minggu akhir, siri keempat (20 Mei) bertajuk, ‘Tempat Selamat: Kita Semua Ada Hak Untuk Bebas Dari Keganasan’.

Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran di https://linktr.ee/iwbselangor dan klik pada bahagian Siri Sihat Selamat Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Perlu sedia data jantina ketika krisis, mudah ambil tindakan

SHAH ALAM,25 APRIL: Data pecahan jantina dari semua jabatan perlu tersedia ketika berlaku krisis bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Cadangan polisi itu diiperoleh Institut Wanita Berdaya (IWB) selepas menjalankan kaji selidik dalam talian selama empat hari bagi mengetahui kesan PKP kepada kehidupan wanita terutama dalam aspek ekonomi.

“Data yang tersedia boleh digunakan untuk memahami perbezaan impak ekonomi serta beban tanggungan wanita.

“Data itu turut memberi input menerusi lensa gender untuk jabatan kritikal seperti Jabatan Kesihatan Negeri. Jabatan boleh mengumpul data berkaitan wabak serta pelaksanaan tindak balas kecemasan dibuat melalui faktor jantina, usia dan jenis kelainan upaya,”menurut laporan IWB itu.

IWB turut mencadangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) mempunyai maklumat terperinci mengenai keperluan wanita.

“Dengan bantuan pihak ini, Kerajaan Negeri dapat pastikan keperluan wanita dipenuhi secara saksama dan efektif.

“Dalam jangka masa panjang, pendekatan ini memastikan lebih banyak wanita terlibat dalam membuat keputusan berkenaan kesan Covid-19 serta langkah membendung,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hilang pendapatan, ibu tunggal paling terkesan dalam PKP

SHAH ALAM, 24 APRIL: Golongan ibu tunggal dilihat paling terkesan di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana hilang sumber pendapatan.

Kaji selidik Institut Wanita Berdaya (IWB) mendapati 45 peratus daripadanya hilang pekerjaan selepas mengalami masalah seperti cuti tanpa gaji, penamatan kontrak pekerjaan dan perniagaan ditutup.

“Hampir separuh ibu tunggal bergantung kepada upah harian sebagai sumber pendapatan manakala 12 peratus pula sangat terjejas dengan pelaksanaan PKP kerana mereka merupakan pencari rezeki keluarga dan satu-satunya penjaga tanggungan,” menurut laporan IWB berkenaan.

Hampir separuh ibu tunggal yang terbabit kaji selidik juga mengalami masalah tanggungan tiada penjaga ketika keluar bekerja kerana kebanyakan mereka menggunakan khidmat pengasuh.

Kajian dalam talian IWB bagi mengetahui kesan PKP dalam kehidupan wanita terutama dalam aspek ekonomi selama empat hari bermula 27 Mac lalu itu turut menemui 75 peratus ibu tunggal akan mengalami masalah kewangan berikutan simpanan hanya bertahan untuk empat minggu.

“Jika pelaksanaan PKP dilanjutkan, 67 peratus ibu tunggal ini percaya mereka tidak bersedia dari sudut kewangan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lapan siri kursus dalam talian, IWB sasar lahir ribuan e-usahawan 

SHAH ALAM, 13 APRIL: Institut Wanita Berdaya (IWB) menyasarkan 1,000 e-usahawan pasca Covid-19 dapat dilahirkan menerusi lapan siri kursus perniagaan daripada aplikasi video, Zoom sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua pegawai eksekutifnya.

Siti Kamariah Ahmad Subki berkata kursus bertujuan membantu usahanita di Selangor yang terkesan ketika wabak ini juga dapat menggalakkan wanita mengadaptasi dengan situasi semasa dalam meneruskan perniagaan semasa dan pasca PKP.

“IWB mengambil keputusan untuk mengadakan siri latihan dalam talian dengan penceramah yang berpengalaman dan terlatih dalam bidang pemasaran perniagaan dalam talian.

“Program ini masih di peringkat fasa pertama dan kita akan teruskan sehingga hujung tahun kerana jangkaan bahawa terdapat keperluan yang berterusan untuk insiatif ini,” katanya.

Untuk fasa permulaan, IWB mengadakan tiga kursus dalam Siri Usahanita iaitu Kursus Keusahawanan Dalam Talian, Kursus Asas Youtube dan Kursus Urus Duit Anda.

Sasaran:

1. Wanita di Selangor atau luar Selangor yang berkecimpung dalam bidang perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
2. Wanita di Selangor yang ingin mempelajari ilmu kewangan peribadi.
3. Wanita di Selangor yang ingin mempelajari ilmu membuat kandungan (content creator) dan menjana pendapatan menggunakan media sosial.

Senarai Kursus Siri Usahanita Keusahawanan Dalam Talian:

7 April 2020, Selasa,3-5 petang
Asas Perniagaan Dalam Talian

14 April 2020,Selasa, 3-5 petang
Penulisan dan Pengiklanan Efektif

21 April 2020,Selasa, 3-5 petang
Pengambilan Gambar Produk dan Video

28 April 2020,Selasa, 3-5 petang
Pembangunan Poster Grafik melalui Canva

Senarai Kursus Siri Usahanita Asas Jana Pendapatan dengan Youtube:

16 April 2020, Khamis, 8.30-10.30 malam
Apa itu Youtube

23 April 2020,Khamis,8.30-10.30 malam
Content creator

30 April 2020,8.30 -10.30 malam
Cari subscriber

Senarai Kursus Siri Usahanita Urus Duit Anda:

18 April 2020, Sabtu, 10 pagi-1 tengah hari
Urus Duit Anda bersama Ringgit Oh Ringgit!
5 Tips Kewangan Yang Wanita Mesti Tahu

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

IWB, PWB berjaya tingkat pendapatan wanita – Amirudin

SHAH ALAM, 7 MAC: Program pemberdayaan wanita Selangor menerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) berjaya meningkatkan pendapatan golongan tersebut, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata golongan wanita di negeri ini diberi latihan dalam pelbagai bidang kemahiran berpotensi besar termasuk kerja yang boleh dilakukan di rumah.

“Dahulu seramai 40,000 wanita atau ibu menerima bantuan bulanan RM200 menerusi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) tetapi selepas penjajaran penerima KISS berjaya dikurangkan kepada 20,000.

“Amalan belas kasihan seperti memberi wang perlu ditukar kepada memberdaya wanita kerana tidak mungkin kita boleh memberi bantuan untuk selama-lamanya,” katanya selepas menghadiri Ekspo Hasil Suri Selangor di Pusat Konvensyem Shah Alam (SACC) hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Selangor berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran penglibatan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai peringkat.

“Ia dibuktikan apabila pentadbiran negeri mempunyai 30 peratus wanita sebagai EXCO dan saya yakin angka ini akan dicapai dalam semua peringkat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor dicadang bantu NGO lindungi mangsa keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 31 JAN: Institut Wanita Berdaya (IWB) mencadangkan Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang mengurus rumah perlindungan mangsa keganasan rumah tangga, kata pengerusinya.

Juwairiya Zulkifli berkata, peruntukan itu bagi menampung sebahagian kos operasi mahupun tambahan rumah perlindungan baharu berikutan permintaannya yang semakin meningkat.

“Tidak dinafikan sememangnya kita masih kekurangan pusat perlindungan wanita, sedangkan kes keganasan rumah tangga dicatatkan meningkat saban tahun.

“Pada masa sama Kerajaan Negeri perlu mengkaji keperluan bagi penyelarasan undang-undang, kualiti serta garis panduan operasi pusat perlindungan di Selangor mahupun negeri lain,” katanya mengulas laporan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang menggesa supaya kerajaan memperbanyakkan jumlah rumah perlindungan wanita di Selangor.

Menurut laporan itu, sehingga kini hanya 10 rumah seumpama itu dibina sedangkan kadar populasi di negeri ini mencecah sekitar 6.5 juta orang.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata, kajian WAO itu disokong dengan geran penyelidikan IWB bagi mencapai matlamat kelima dan keenam Dasar Wanita Selangor iaitu meningkatkan kesihatan, kesejahteraan serta bebas daripada keganasan dan ketakutan.

“Ia juga selaras dengan seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah Matlamat Pembangunan Lestari yang kelima iaitu kesaksamaan gender,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Program IWB berdaya wanita, lahir keluarga harmoni

SHAH ALAM, 30 JAN: Institut Wanita Berdaya (IWB) terus melaksanakan program bersifat pemberdayaan wanita dan keluarga dalam usaha melahirkan keluarga harmoni di Selangor, kata Pengerusinya.

Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya merancang Program Keluarga Harmoni pada tahun ini dengan tumpuan kepada pasangan suami isteri muda mengenai pengurusan kewangan, konflik dan komunikasi berkesan.

“Selain itu, IWB turut menjalankan Program Jaringan Muafakat yang menumpukan kumpulan sasar Orang Asli, Felda dan komuniti India,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas isu hampir 6.2 juta wanita di negara ini dikategorikan keluarga ‘sandwic’, beliau berkata kerajaan perlu mandang serius perkara itu dalam usaha memastikan kesejahteraan institusi keluarga serta kualiti generasi masa depan.

“Di peringkat IWB, kita merancang menjalankan kajian terperinci mengenai solusi dan dasar bersifat jangka panjang untuk tindakan Kerajaan Negeri,” kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati itu.

Keluarga ‘sandwic’ adalah istilah bagi wanita perlu menanggung anak sendiri di samping terpaksa menjaga ibu bapa iaitu dua atau tiga generasi duduk dalam satu rumah yang didapati menghadapi tekanan emosi dan mental teruk selain kemampuan kewangan terhad.