Categories
SASTERA

Jerusalem menangis

Oleh Lokman Hakim

PAGI itu Jerusalem menangis. Ibunya terlupa membancuh susu untuk diminum seperti kebiasaan. Bapanya pula telah turun bekerja tiga hari lepas dan lupa jalan pulang. Kawan-kawannya telah memulaukannya kerana mereka takut pada bapa Jerusalem.

Bapa Jerusalem itu seorang yang garang. Dia gemar bertempik keras ketika kanak-kanak bermain bola sekitar rumah mereka. Itu belum lagi cerita bagaimana dia memukul anak jiran hingga lumpuh. Biarpun cerita itu fiksi semata-mata, impaknya cukup berkesan. Tidak mustahil jika bapa Jerusalem telah dibuang ke laut atau dibunuh musuhnya. Tiada cerita yang elok-elok mengenai bapa Jerusalem.

Si ibu Jerusalem tahu bahawa suaminya itu ada meninggalkan beberapa enigma dan juga sedikit fahaman ikut-ikutan yang diamalkan oleh beberapa kelompok beragama sekitar Tanah Arab dan juga Eropah. Biarpun begitu, enigma-enigma tersebut tidaklah ada sesiapapun berani membongkarnya. Menelusuri maknanya yang tercatat di beberapa bahagian daerah tersebut sudah cukup meresahkan jiwa mereka. Dibiarkan sahaja terpahat, terpacak, terperap dan tersorok di dalam belukar dan lalang yang meninggi.

Setelah seminggu menghilangkan diri, bapa Jerusalem balik ke rumah dalam keadaan terhuyung-hayang lalu rebah ke lantai ruang tamu. Si ibu menjerit ketakutan kerana mendapati nadi si bapa tidak lagi berdenyut, tetapi kembali tenang apabila mendapati dia tersilap tempat memeriksa nadi yakni pada muka perut. Jerusalem menangis, tetapi si ibu tidaklah tahu bagaimana lagi mahu memujuknya.

Tambahan pula si bapa sudah berdengkur di atas lantai dengan perut buncitnya terserlah dek kerana pakaiannya yang tidak cukup saiz tersebut. Si ibu menepuk dahi lalu memutuskan untuk meredakan tangis Jerusalem.

Didukungnya, lalu diberikan susu. Ditepis pula, lalu Jerusalem menangis lagi. Bingit benar. Suara tangisan dan dengkuran di pagi nan cerah itu, amat bertingkahan dan meletihkan. Botol susu yang ditepis jatuh ke lantai lalu membasahi wajah si bapa. Si bapa mabuk, tidak mungkin bangun dalam waktu terdekat. Tanpa mahu mempedulikan si bapa, si ibu membawa Jerusalem ke dalam bilik lalu didodoikan dengan lagu-lagu rakyat kacukan Palestin dan Israel. Lena jugalah Jerusalem dibuatnya.

Setelah lena, Jerusalem diletakkan perlahan-lahan di atas tilam empuk dan diletakkan bantal-bantal kecil di tepinya supaya Jerusalem tidak bergolek jauh lalu jatuh melepasi sisi katil.

Si ibu bergerak ke bilik mandi, menyediakan tuala basah dan sesudah itu bergerak ke dapur pula untuk memanaskan air. Sesekali dia menjeling ke arah si bapa, yang sudah tertidur dan tampak begitu penat. Entah apalah dibuat oleh orang itu, fikir si ibu, tidaklah dia pernah mengetahuinya. Kebajikan keluarga agak terjaga dari segi kewangan kerana si bapa acapkali kembali dengan sejumlah wang yang banyak.

Mungkin dia merompak orang.

Mungkin dia menyamun bank.

Mungkin juga dia menjarah negara lain.

Terlalu banyak kemungkinan yang boleh disandarkan pada si bapa yang sehingga hari ini tidak mampu menerangkan sepenuhnya akan skop kerjanya. Tetapi apa yang nyata juga ialah cerita-cerita aneh mengenainya. Ada skulptur dibina berdasarkan rupa paras si bapa. Ada lukisan-lukisan berharga mahal si bapa dibuat agar menyerupai dewata ataupun seorang yang sangat berkuasa. Ada sajak-sajak dideklamasikan untuk menyatakan kekuasaan dan kejahatan si bapa. Pelbagai naratif dan kisah.

Namun begitu, si bapa tenang sahaja keluar rumah sesuka hatinya, membawa pulang wang berkepuk-kepuk setelah habis perjalanan tanpa sebarang makluman. Mujurlah perjalanannya tidak lama, biasanya sehari dua sahaja. Cuma kali ini sahaja dia begitu lama kembara. Si ibu masih tidak memahami polanya. Apa yang menghairankan kali ini ialah tiada wang sama sekali dibawa pulang. Bahkan pakaiannya carik dan terkoyak di beberapa bahagian. Sungguhpun begitu, dia tidak pula cedera. Hanya mukanya yang berjambang kuning itu sedikit kemerahan. Masih kemabukan.

Ketika menyediakan air panas, si ibu berdiri di hadapan sinki sambil memikirkan enigma-enigma dalam pelbagai bentuk skulptur, lukisan, berhala dan juga struktur yang dibina untuk si bapa. Pelbagai simbol dan agenda mula beredaran dalam benaknya sehinggalah bunyi cerek mendidih menyedarkannya daripada lamunan. Bunyi nyaring dan panjang itu turut menyedarkan Jerusalem daripada lenanya. Si kecil itu tidak menangis kali ini, barangkali masih kenyang susu, tetapi matanya terkedip-kedip menatap siling. Lalu dia bergerak-gerak dan turun daripada katil tersebut. Dia merangkak-rangkak dan duduk seketika berhampiran si bapa yang masih terbongkang di ruang tamu.

Baunya yang hamis itu membuatkan muka Jerusalem berkerut-kerut.

Dia mendekati si bapa, lalu berpegang pada perut si bapa yang membulat itu untuk bangkit berdiri. Jerusalem mendapati kakinya sudah kuat. Tanpa membuang masa dia melonjak-lonjak berulang kali dengan hati yang girang.

Si ibu pula sibuk di dapur tanpa menyedari Jerusalem sudah menitipkan pandangannya ke arah pintu masuk yang sedikit terselak tak dikunci. Perlahan-lahan Jerusalem melangkah ke arah pintu, menyelak luas daunnya dan terpana dengan keindahan pagi.

Si ibu membawa baldi berisi air panas ke ruang tamu dengan niat mahu mengelap tubuh si bapa yang berbau hamis itu. Namun begitu, apabila dia melihat Jerusalem sudah berada di pintu, dengan senyuman paling comel pernah diberi seorang bayi, si ibu kembali panik dan baldi berisi air panas terlucut lalu jatuh ke lantai. Air panas itu tumpah ke atas tubuh si bapa. Si bapa terkejut lalu berteriak lantang.

Jerusalem terkejut lalu bertempiaran lari daripada rumah itu.

*Lokman Hakim adalah segelintir penulis muda yang aktif dalam penulisan novel sains fiksyen