Categories
SELANGOR

Kejadian bongkah batu jatuh, SUKE diarah henti pembinaan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 27 JAN: Kerja-kerja di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihentikan serta-merta selepas kejadian bongkah batu terjatuh di kawasan berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain berkata, kejadian berlaku berhampiran Jalan Saga 28, Taman Bukit Saga, 23 Januari lalu.

“Syarikat SUKE diarah berhenti kerja bagi mengemukakan laporan kejadian dan tindakan pencegahan agat kejadian tidak berulang.

“Terdapat 10 rumah terlibat dengan percikan lumpur kesan daripada jatuhan batu tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat penuh MPAJ, di sini, semalam.

Hamid berkata, terdahulu MPAJ membuat semakan tapak dan mendapati terdapat bongkah batu jatuh semasa penggunaan jentera membina laluan masuk Lebuhraya SUKE.

Bongkah batu yang jatuh ke kaki cerun yang berlumpur menyebabkan percikkan air lumpur terkena pada rumah dan kenderaan berhampiran.

Walaubagaimanapun, Hamid berkata, terdapat pagar besi keselamatan dan batuan konkrik dibina sebagai penghadang keselamatan dalam jarak 30 meter dari rumah penduduk berhampiran.