Categories
SELANGOR

Kejadian bongkah batu jatuh, SUKE diarah henti pembinaan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 27 JAN: Kerja-kerja di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihentikan serta-merta selepas kejadian bongkah batu terjatuh di kawasan berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain berkata, kejadian berlaku berhampiran Jalan Saga 28, Taman Bukit Saga, 23 Januari lalu.

“Syarikat SUKE diarah berhenti kerja bagi mengemukakan laporan kejadian dan tindakan pencegahan agat kejadian tidak berulang.

“Terdapat 10 rumah terlibat dengan percikan lumpur kesan daripada jatuhan batu tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat penuh MPAJ, di sini, semalam.

Hamid berkata, terdahulu MPAJ membuat semakan tapak dan mendapati terdapat bongkah batu jatuh semasa penggunaan jentera membina laluan masuk Lebuhraya SUKE.

Bongkah batu yang jatuh ke kaki cerun yang berlumpur menyebabkan percikkan air lumpur terkena pada rumah dan kenderaan berhampiran.

Walaubagaimanapun, Hamid berkata, terdapat pagar besi keselamatan dan batuan konkrik dibina sebagai penghadang keselamatan dalam jarak 30 meter dari rumah penduduk berhampiran.

Categories
SELANGOR

MPAJ gesa SUKE perkukuh tebing tanah, elak banjir lumpur berulang

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 26 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggesa Syarikat Pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) emperkukuhkan tebing tanah bagi mengelak banjir lumpur berulang.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, tebing tanah dibina di tepi jajaran laluan tanah oleh kontraktor terhakis oleh aliran air dibahagian paling atas cerun dan menyebabkan tebing pecah.

“Aliran air menyebabkan dua berm drain tersumbat dan dipenuhi air dengan tanah lumpur.

“SUKE diarah mengalihkan aliran air dari laluan pembinaan bertanah bagi mengelak hakisan lanjut dan tebing tanah perlu diperkukuh,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MPAJ, di sini pagi tadi.

Selain itu, Hamid berkata, kerja pembersihan longkang tepi cerun ‘berm drain’ perlu dilaksanakan bagi mengawal aliran air pada cerun.

Tambahnya lagi, kontraktor SUKE juga diarahkan berhenti melakukan kerja serta merta dan memberikan laporan kejadian dan tindakan pencegahan dan pembaikan perlu dilaksanakan.

Terdahulu, kejadian banjir lebat pada 23 Januari lalu menyebabkan banjir lumpur berlaku di kawasan tempat letak kereta Pangsapuri Saga Suria, Ampang.

Hasil pemeriksaan MPAJ, mendapati terdapat limpahan air larian menuruni cerun yang telah mengakibatkan kerosakan pada cerun dengan kelebaran tiga meter.

Categories
SELANGOR

SUKE-DASH: Selangor peduli, ubah reka bentuk demi rakyat

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri mengambil kira keluhan rakyat dan mencari solusi sesuai dalam pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Damansara – Shah Alam (DASH).

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beberapa pandangan diambil kira termasuk mengubah reka bentuk jajaran demi kesejahteraan penduduk.

AZMIN“Kita mengubah reka bentuk asal lebuhraya supaya lebih rendah dan sama paras dengan tempat meletak kereta di satu kawasan kondominium agar penduduk tidak terganggu pemandangan.

“Malah, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) turut mencadangkan laluan khusus yang kalis bunyi supaya tiada lagi masalah bunyi di situ.

“Mana yang boleh, kita akan selesaikan tetapi pada masa sama kita terpaksa juga ambil kira keperluan lebuhraya ini untuk kepentingan majoriti,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas melawat Pameran Smart Selangor di Bangunan SUK di sini, hari ini.

Terdahulu, kumpulan Say NO to SUKE dan Say No to DASH membuat laporan polis terhadap Kerajaan Negeri yang didakwa melanggar prosedur dalam memberi kelulusan kedua-dua lebuhraya itu.

Mohamed Azmin berkata, kesemua prosedur diikuti dan sudah dijelaskan secara terperinci oleh Exco Negeri, Elizabeth Wong sebelum ini.

“Tugas kita adalah untuk memberitahu rakyat proses apa yang terlibat dan itu sudah dilakukan.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat menghalang sesiapa untuk membuat laporan kerana itu hak mereka,” katanya.

-nR-