Categories
GLOBAL

Lagi foto menunjukkan Yingluck di London

BANGKOK 6 JAN: Polis Thailand akan menghubungi rakan sejawat mereka di United Kingdom bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung lokasi bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berikutan terdapat satu lagi foto menunjukkan bekas perdana menteri itu berada di London baru-baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Thailand Jen Srivara Rangsibrahmanakul berkata, polis akan mendapatkan lebih banyak maklumat menerusi kerjasamanya dengan Interpol untuk menentukan sama ada Yingluck berada di London.

“Polis juga akan menghubungi wanita yang dirakam gambarnya bersama-sama Yingluck di dalam foto terbaru itu,” katanya kepada pemberita berhubung foto Yingluck bersama-sama seorang wanita tidak dikenali yang dipaparkan di akaun Twitter dan Facebook beberapa individu tertentu.

Foto itu mengandungi kapsyen menyatakan gambar itu dirakamkan di luar gedung beli-belah mewah Harrods di bandar raya itu.

Lokasi Yingluck ketika ini masih menjadi misteri selepas beliau melarikan diri dari negara itu pada penghujung Ogos tahun lepas, sejurus sebelum Mahkamah Agung membuat keputusan penting berhubung kes kecuaiannya berkaitan kes skim pengagihan beras semasa di bawah pentadbirannya.

SUMBER: BERNAMA