Categories
GLOBAL

Lagi foto menunjukkan Yingluck di London

BANGKOK 6 JAN: Polis Thailand akan menghubungi rakan sejawat mereka di United Kingdom bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung lokasi bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berikutan terdapat satu lagi foto menunjukkan bekas perdana menteri itu berada di London baru-baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Thailand Jen Srivara Rangsibrahmanakul berkata, polis akan mendapatkan lebih banyak maklumat menerusi kerjasamanya dengan Interpol untuk menentukan sama ada Yingluck berada di London.

“Polis juga akan menghubungi wanita yang dirakam gambarnya bersama-sama Yingluck di dalam foto terbaru itu,” katanya kepada pemberita berhubung foto Yingluck bersama-sama seorang wanita tidak dikenali yang dipaparkan di akaun Twitter dan Facebook beberapa individu tertentu.

Foto itu mengandungi kapsyen menyatakan gambar itu dirakamkan di luar gedung beli-belah mewah Harrods di bandar raya itu.

Lokasi Yingluck ketika ini masih menjadi misteri selepas beliau melarikan diri dari negara itu pada penghujung Ogos tahun lepas, sejurus sebelum Mahkamah Agung membuat keputusan penting berhubung kes kecuaiannya berkaitan kes skim pengagihan beras semasa di bawah pentadbirannya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Tiada maklumat Yingluck di UK mahu mohon suaka

BANGKOK 30 SEPT: Kerajaan Thailand tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra ketika ini berada di United Kingdom dan merancang untuk memohon suaka seperti yang dilaporkan oleh media asing.

Timbalan Perdana Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal dalam negeri Jen Prawit Wongsuwan berkata kerajaan hanya dimaklumkan oleh Kementerian Luar bahawa Yingluck kini berada di Dubai.

“Saya tak tahu,” katanya ketika menjawab soalan media hari ini berhubung laporan terkini bahawa Yingluck berlepas dari Dubai menuju United Kingdom, dan beliau dilaporkan merancang untuk mengemukakan permohonan bagi mendapat suaka.

Beliau enggan menjawab soalan media sama ada kerajaan tentera akan memfailkan permohonan ekstradisi sekiranya benar Yingluck berada di United Kingdom dan merancang untuk memohon suaka.

Prawit yang juga Menteri Pertahanan seterusnya berkata media seharusnya bertanya kepada bekas perdana menteri itu tentang rancangan masa depannya.

Media melaporkan tentang kehadiran Yingluck di United Kingdom susulan pengumuman Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha, Khamis berhubung kedudukan bekas pemimpin Thai itu sekarang.

Pengumuman Prayut bahawa Yingluck ketika ini berada di Dubai menamatkan spekulasi berhubung lokasi beliau berada sekarang setelah tidak hadir dalam perbicaraan penting di mahkamah pada bulan lepas.

Adik perempuan bekas perdana menteri yang kini hidup dalam buangan, Thaksin Shinawatra itu melarikan diri dari Thailand selepas gagal hadir untuk mendengar keputusan mahkamah berkaitan pembabitan beliau dalam skim subsidi beras yang diselubungi kontroversi.

Mahkamah Agung yang bersidang semula selepas menangguhkan keputusannya selama sebulan berikutan ketiadaan Yingluck bulan lepas mendapati beliau bersalah kerana kecuaian dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun tanpa kehadirannya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Yingluck dijatuh hukuman penjara lima tahun

BANGKOK 27 SEPT: Mahkamah Agung Thailand mendapati bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra bersalah tanpa kehadirannya kerana kecuaian dalam pelaksanaan skim subsidi beras yang menimbulkan kontroversi dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Seramai sembilan hakim Bahagian Jenayah Untuk Pemegang Jawatan Politik Mahkamah Agung mengumumkan penghakiman yang telah lama dinanti-nantikan itu.

Adik kepada bekas Perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra tidak menghadiri prosiding untuk mendengar keputusan mahkamah.

Keberadaannya sekarang masih menimbulkan misteri sejak gagal hadir pada prosidng mahkamah yang sam bulan lepas.

Yingluck1Kerana ketidakhadiran Yingluck bulan lepas, mahkamah menangguhkan keputusan sehingga Rabu.

Kerajaan mendakwa bahawa skim subsidi beras yang dilaksanakan semasa pentadbiran Yingluck menyebabkan negara itu menanggung kerugian kewangan yang besar walaupun bekas perdana menteri itu menafikan tuduhan itu sepanjang perbicaraan selama dua tahun.

Yingluck menjadi perdana menteri wanita pertama Thailand pada 2011 selepas memenangi pilihan raya umum sebelum beliau digulingkan oleh junta tentera pada Mei 2014.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Lokasi misteri Yingluck bakal terjawab

GLOBAL 27 SEPT: Misteri mengenai di mana bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra berada berikutan “kehilangan”nya sebulan lalu, akan didedahkan oleh kerajaan selepas Mahkamah Agung membuat keputusan mengenai kesnya hari ini.

Menurut Perdana Menteri Thailand, Jen Prayut Chan-o-cha, jurucakap kerajaan akan mengumumkan maklumat mengenai lokasi di mana beliau berada pada masa ini kepada rakyat Thai.

“Saya (kerajaan) akan memberitahu selepas 27 September (keputusan mahkamah) di mana dia berada. Harap bersabar,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan di Bangkok semalam.

Prayut berkata, kerajaan harus menunggu keputusan mahkamah sebelum mengambil sebarang langkah berkaitan dengan bekas perdana menteri, yang menjadi perdana menteri wanita pertama negara ini pada 2011 sebelum digulingkan pada Mei 2014.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata sebarang langkah yang dibuat kerajaan adalah selaras dengan kedaulatan undang-undang.

Yingluck1Bahagian Jenayah untuk Pemegang Jawatan Politik di Mahkamah Agung Thailand akan menyampaikan keputusan mengenai kes pembabitan Yingluck dengan skim subsidi padi yang kontroversi, esok, di mana dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika didapati bersalah.

Mahkamah sepatutnya menyampaikan penghakimannya bulan lalu tetapi terpaksa menangguhkannya selepas bekas perdana menteri itu gagal hadir di mahkamah, sehingga mencetuskan spekulasi dia meninggalkan negara ini bagi menyelamatkan diri daripada tindakan mahkamah.

Sejak ketidakhadirannya di mahkamah bulan lepas, Yingluck, yang juga adik perempuan bekas perdana menteri dalam buangan, Thaksin Shinawatra, tidak pernah dilihat di khalayak ramai atau mengeluarkan sebarang kenyataan.

Media membuat spekulasi bahawa dia menyelinap keluar dari Thailand melalui sempadan Kemboja, dua hari sebelum mahkamah bersidang, menaiki penerbangan ke Singapura dan Dubai kemudiannya bersama abangnya yang mempunyai sebuah rumah di bandar di Timur Tengah.

Mahkamah dijangka menyampaikan keputusan tanpa kehadiran Yingluck kerana besar kemungkinan dia tidak akan hadir di mahkamah hari ini.

Perdana menteri Thailand itu juga menolak dakwaan media bahawa sebuah negara asing telah memberikan maklumat mengenai di mana Yingluck berada.

“Siapa yang akan memaklumkan anda (kerajaan Thai). Saya mempunyai detektif saya,” katanya sambil menambah bekas perdana menteri itu tidak mempunyai alasan untuk memohon suaka memandangkan prosiding undang-undangnya masih berjalan.

Sebagai persediaan untuk keputusan mahkamah hari ini, Prayut berkata pasukan keselamatan telah membuat persiapan seperti biasa.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Siasatan terhadap Yingluck capai kemajuan baik – TPM Thailand

BANGKOK 6 SEPT: Kerajaan Thailand menyatakan ia mencapai kemajuan yang menggalakkan dalam siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang tiba-tiba melarikan diri tetapi enggan mendedahkan butiran mengenainya.

Timbalan Perdana Menteri, Jen Prawit Wongsuwan berkata, beliau akan menunggu sehingga masa yang sesuai untuk memaklumkan mengenai semua kemajuan yang dicapai dalam siasatan.

“Siasatan mengenai laluan digunakan Yingluck melarikan diri dan keberadaannya mencapai kemajuan tetapi kami tidak boleh mendedahkannya kerana kami belum menyimpulkan semua bukti.

“Saya akan memberitahunya apabila segala-galanya sudah jelas,” kata beliau kepada media di sini pada Selasa.

Yingluck1Bekas Perdana Menteri itu tidak hadir di mahkamah pada Jumaat lepas untuk mendengar keputusan terhadapnya berhubung kes kecuaian dalam skim subsidi beras yang dilaksanakan semasa pentadbirannya dan mencetuskan spekulasi bahawa beliau telah melarikan diri untuk mengelak tindakan mahkamah.

Jika didapati bersalah, Yingluck, adik kepada seorang lagi bekas Perdana Menteri, Thaksin boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun.

Sementara itu, Prawit yang juga Menteri Pertahanan dan menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri berkata, kerajaan belum menerima sebarang maklum balas daripada beberapa kerajaan asing yang ia memohon bantuan dalam siasatan ke atas Yingluck.

Beliau juga ditanya mengenai tarikh pilihan raya umum tetapi berkata ia akan mematuhi pelan tindakan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kerajaan tidak menetapkan tarikh atau bulan (bagi pilihan raya umum) tetapi ia mematuhi pelan tindakan dan undang-undang organik. Sehingga kini, proses untuk menggubal undang-undang organik belum selesai,” kata beliau.

Beliau membuat komen itu susulan kenyataan oleh Pesuruhjaya Pilihan Raya negara itu yang menjangka pilihan raya umum boleh diadakan pada Ogos tahun depan.

Pilihann raya umum yang dinanti-nantikan itu akan menandakan Thailand kembali kepada demokrasi selepas junta tentera merampas kuasa pada Mei 2014.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Lokasi bagaimana Yingluck larikan diri masih jadi misteri

BANGKOK 2 SEPT: Seminggu sudah berlalu sejak bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra menghilangkan diri secara tiba-tiba dan kerajaan Thailand belum dapat merungkai misteri mengenai keberadaannya.

Kerajaan termasuk polis dan angkatan tentera masih berusaha untuk mencari jawapan tentang bagaimana beliau dapat melarikan diri dari negara itu.

“Kami masih tidak tahu dengan tepat keberadaan Yingluck,” menurut Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan, yang juga Menteri Pertahanan merangkap menteri bertanggungjawab bagi polis kepada media tempatan baru-baru ini ketika siasatan untuk menjejajaki Yingluck rancak berjalan.

Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu sepatutnya hadir di mahkamah Jumaat lalu untuk mendengar keputusan terhadapnya berhubung tuduhan melakukan kecuaian dalam subsidi beras yang jika sabit kesalahan, Yingluck boleh dipenjarakan sehingga sepuluh tahun.

Ketidakhadiran beliau di mahkamah mencetuskan spekulasi oleh media bahawa beliau telah lari meninggalkan negara itu seperti mengikut jejak abangnya, Thaksin kira-kira sebilan tahun lalu pada 2008 dan kini tinggal dalam buangan.

Yingluck1Sejak Yingluck tidak hadir di mahkamah tujuh hari lalu, media di Thailand tidak henti-henti membuat spekulasi dan teori mengenai keberadaannya.

Spekulasi yang paling hangat ialah Yingluck kini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama-sama abangnya yang mempunyai sebuah rumah di kota Timur Tengah itu.

Spekulasi lain memetik sumber-sumber tertinggi di kalangan dalam partinya, Pheu Thai yang mendakwa bahawa bekas perdana menteri itu merancang untuk memohon perlindungan di United Kingdom.

Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha yang melahirkan rasa terkejut terhadap peristiwa yang menyusul berhubung kehilangannya telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk memulakan siasatan untuk mengenal pasti bagaimana beliau dapat melarikan diri dari negara itu.

“Saya sangka beliau akan menunjukkan keberanian untuk hadir di mahkamah,” kata beliau ketika beberapa kumpulan dan aktivis politik di Thailand meningkatkan kritikan ke atas kerajaan kerana gagal menghalang Yingluck daripada melarikan diri.

Kumpulan dan aktivis mahu tindakan tegas diambil jika didapati Yingluck dapat melarikan diri akibat kecuaian para pegawai tertinggi keselamatan.

Timbalan Ketua Polis Nasional Jen Srivara Rangsibrahmanakul yang diamanahkan menjalankan siasatan mengenai kehilangan Yingluck berkata, polis meminta kerjasama daripada enam negara termasuk Kemboja, Singapura dan UAE dalam siasatan.

Phnom Penh menyatakan bahawa Yingluck tidak menyeberang masuk ke sempadannya.

Polis Thailand juga telah meminta bantuan daripada Interpol untuk menjejaki bekas perdana menteri itu.

“Polis telah menubuhkan satu pasukan untuk mengesannya dan agensi-agensi berkaitan juga telah memantau dengan rapi pergerakan di sekitar kawasan sempadan. Para pegawai telah diarah mengemukakan laporan setiap lima hari,” kata Srivara.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat Thailand, Jen Chalermchai Sittisart memberitahu media rancangan Yingluck untuk melarikan diri telah dirancang terlebih dahulu apabila beliau meninggalkan semua telefon dan menukar kereta supaya sukar untuk menjejakinya menggunakan cara sama seperti dilakukan dahulu.”

SUMBER: BERNAMA