Categories
NASIONAL

Landasan ketiga KLIA kembali beroperasi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 JAN: Landasan ketiga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kembali beroperasi seperti biasa apabila dibuka, pada jam 6 pagi, hari ini.

Sebelum itu, landasan terbabit ditutup sementara untuk kerja penyelenggaraan.

Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan, pengoperasian semula landasan itu akan melancarkan sistem perjalanan, di KLIA.

“Kita dengan sukacitanya mengumumkan landasan ketiga di KLIA dibuka semula dan beroperasi seperti biasa mulai jam 6 pagi, hari ini.

“Terima kasih kepada pasukan di lapangan terbang yang membetulkan keadaan dengan segera dan berharap semua penumpang menikmati perjalanan menyenangkan,” katanya.

Kerja penyelenggaraan bagi landasan itu adalah salah satu prosedur operasi standard (SOP) keselamatan lapangan terbang.

Ia tidak mengganggu jadual penerbangan kerana masih ada landasan lain, di KLIA beroperasi seperti biasa.