Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Apa peranan Ahli Parlimen jika dihalang semak laporan audit 1MDB?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mempersoal halangan dikenakan terhadap Ahli Parlimen untuk membuat semakan sulit laporan Ketua Audit Negara membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, laporan berkenaan seharusnya ditukar klasifikasi bagi mendapatkan pendedahan sebenar terhadap skandal kewangan yang didakwa media antarabangsa membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya sangat kecewa dengan keputusan penolakan permohonan ini. Sepatutnya mahkamah membenarkan laporan itu ditukar status untuk didedahkan kepada rakyat.

“Namun, saya cukup terkejut apabila Ahli Parlimen tidak dibenarkan untuk mendapatkan akses bagi membuat semakan terhadap laporan itu,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Kamaludin Md Said dalam keputusannya menolak permohonan Mohamed Azmin mencabar status sulit laporan audit berkenaan atas sebab ‘locus standi’ terhadap dokumen berkenaan.

Mohamed Azmin sebelum ini menamakan Perdana Menteri dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sebagai responden dalam prosiding kes berkenaan.

Berdasarkan afidavit itu, beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor menuntut Laporan Audit Negara berhubung 1MDB yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi menurut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) ditukar status kepada ‘dokumen awam’.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau akan berbincang dengan barisan peguamnya untuk sebarang tindakan prosiding perbicaraan lanjutan di mahkamah.

“Saya akan berbincang dengan peguam saya jika wujud keperluan membawa kes ini ke peringkat selanjutnya seiring keperluan mempertahankan dan menjaga kepentingan rakyat,” katanya.