Categories
SELANGOR

Madu bukan penawar kanser – Dr Yasmeen

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 JAN : Amalan pemakanan madu lebah bukanlah jaminan bahawa penularan sel kanser dalam badan pesakit itu boleh dirawat.

Pakar perubatan, Dr Yasmeen Farouk Mohamed berkata, pesakit kanser boleh mengambil pemakanan berasaskan buah-buahan bagi menambah kandungan gula dalam badan penghidap kanser.

“Dalam konteks pemakanan madu untuk individu yang belum mendapat kanser itu memang terbaik khasiatnya dan memang disarankan untuk mengamalkan pemakanan madu sesudu setiap pagi.

“Tetapi tidak bagi pesakit kanser, anda diingatkan untuk tidak mengambil madu sebagai pemakanan gula dalam badan tetapi disaran boleh mengambil buah-buahan sebagai gula sahaja.

“Memang ada saranan perubatan yang menyarankan pengambilkan madu kepada pesakit, namun berdasarkan pemerhatian dan kajian saya untuk tempoh 10 tahun ini, pengambilan madu untuk pesakit kanser sebenarnya tidak berkesan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa sel yang tidak dapat menampung penularan kanser dalam badan, walaupun pengambilan madu diambil penghidap kanser.

Sebelumnya, wujud beberapa pendekatan yang didedahkan umum di laman sosial mengaitkan amalan pemakanan madu yang didakwa boleh merawat kanser dalam badan pesakit.

Bagaimanapun hasil semakan SelangorKini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang melaporkan bahawa pemakanan madu boleh merawat kanser.

Namun, portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan, pengambilan madu hanya boleh menambah kepada kandungan kalori dan protein bagi diet pesakit kanser.

Terdahulu, Dr Yasmeen Farouk bercakap pada program seminar kesihatan Fule For Fighters Awakening yang turut dihadiri lebih 100 pesakit kanser seluruh negeri.

Hadir sama isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Datin Seri Shamshida Taharin dan Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seksyen 7, petang ini.