Categories
NASIONAL

Malaysia berisiko berlaku serangan pengganas

SHAH ALAM, 2 JAN: Malaysia tersenarai sebagai antara negara berdepan risiko berlaku serangan pengganas selain Indonesia Thailand dan Filipina.

Kementerian Luar United Kingdom (UK) dalam lamannya melaporkan negara lain termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Jerman dan Belgium.

Amaran itu dikeluarkan ke atas 225 negara khusus buat rakyat negara Eropah terbabit yang ingin mengunjungi Malaysia, pada 6 Oktober lalu dan dikemas kini, hari ini.

Memetik laporan Astro Awani, Pejabat Luar dan Komanwel (FCO) menasihatkan rakyatnya mengelak daripada berkunjung ke kawasan pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau, termasuk Lankayan, Mabul, Pom Pom, Kapalai, Litigan, Sipadan dan Mataking.

“Pengganas kemungkinan besar akan cuba melakukan serangan di Malaysia. Serangan boleh berlaku di mana sahaja, termasuk di tempat dilawati pelancong asing.

“Berhati-hati, pantau media tempatan dan ikuti nasihat pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Ia ekoran ancaman diterima terhadap risiko penculikan warga asing di pantai timur Sabah, terutama pulau berhampiran Kepulauan Sulu, di selatan Filipina.

Kes penculikan terakhir berlaku pada Mei 2015, membabitkan dua rakyat Malaysia diculik di Sandakan, dengan salah seorang daripadanya terbunuh.