Categories
SELANGOR

MDKL: Bayar awal cukai taksiran dapat ‘habuan istimewa’

OLEH NORHAYATI UMOR

BANTING, 10 JAN: Pemilik harta di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bakal membawa pulang hadiah menarik sekiranya menjelaskan bayaran awal cukai taksiran 2018.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, dengan setiap pembayaran cukai taksiran setahun, pembayar cukai berpeluang membawa pulang sebuah bekas makanan menarik selagi stok masih ada.

Katanya, bagi memudahkan orang ramai menyemak dan membuat bayaran, MDKL turut menyediakan perkhidmatan kaunter bayaran pada setiapIsnin hingga Jumaat di Ibu Pejabat MDKL bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

“Manakala bagi hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, kaunter akan dibuka bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.

“Bagi melicinkan lagi urusan pembayaran di Ibu Pejabat MDKL, Kaunter Pandu Bayar juga dibuka bermula 15 Januari hingga 28 Februari 2018.

“Kaunter beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, MDKL turut mengaktifkan kaunter bayaran di Pejabat Cawangan Bandar Saujana Putra dan Dewan Orang Ramai Jenjarum, Telok Panglima Garang sertaTanjung Sepat pada Sabtu dan Ahad.

Selain itu, bayaran cukai taksiran juga boleh dibuat di kaunter bayaran Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Selangor yang lain.

“Kesedaran awam mengenai kepentingan menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai taksiran akan dapat memastikan kelangsungan serta kelancaran penyampaian perkhidmatan perbandaran kepada warga masyarakat.

“Keingkaran pemilik harta menjelaskan bayaran cukai taksiran mengikut tempoh ditetapkan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang diambil di bawah Seksyen 148, akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.