Categories
NASIONAL

MET keluarkan amaran cuaca buruk di Pahang, Johor

SHAH ALAM, 3 JAN: Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) terus mengeluarkan amaran cuaca buruk, ekoran hujan lebat dan angin kencang berterusan di Pekan dan Rompin, Pahang serta Mersing, Johor.

Met Malaysia turut mengeluarkan amaran waspada cuaca buruk untuk tempoh sama, iaitu Kemaman, Terengganu; Kuantan, Pahang dan Segamat, Kluang serta Kota Tinggi, Johor.

“Amaran ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku sehingga jam 9 pagi ini, di Kuala Penyu dan Beaufort, Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kawasan lain yang terjejas amaran waspada cuaca buruk sehingga hari ini adalah Kudat dan Sandakan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Ranau, Sabah.

Pada masa sama, Met Malaysia turut mengesan Lekukan Tropika, pada kedudukan kira-kira 291 kilometer (km) ke Barat Laut Palawan, Filipina dan 428km ke Timur Laut Kudat, Sabah, sekitar jam 5 pagi tadi.

“Lekukan Tropika bergerak ke arah Barat dengan kelajuan 35 kmsj.

“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dan ombak sehingga 3.5 meter di perairan Kudat dan Sandakan, Sabah,” katanya.