Categories
PBT SELANGOR

MPSJ lancar Anugerah Sekolah Sejahtera 2018

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 11 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melancarkan Anugerah Sekolah Sejahtera 2018 di Swan Convention Centre, Bandar Sunway, di sini, semalam.

Majlis dilancarkan Yang Dipertuanya, Noraini Roslan dan kali ini akan membabitkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) lain.

Noraini dalam ucapannya berkata, bagi tahun ini terdapat beberapa aspek akan ditambah iaitu keselamatan, sukan, kebudayaan dan inovasi.

“Bagi mencapai objektif terbabit, MPSJ akan terus berusaha menjalinkan banyak kolaboratif dengan pelbagai sektor korporat dan swasta dalam merealisasikan program ini, sekali gus memberikan impak sepenuhnya kepada komuniti.

“Selain kerjasama dan sokongan daripada komuniti, stakeholder juga memainkan peranan dan pada tahun ini kita mendapat kerjasama daripada Sunway Medical Centre (SunMed) dan Malaysia Green Technology Corporation (Green Tech) selaku rakan sinergi.

“Kami juga mengalu-alukan wakil dari sektor korporat dan swasta yang berminat untuk tampil memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini,” katanya.

Terdahulu, Anugerah Sekolah Sejahtera merangkumi tiga aspek utama iaitu kesihatan dan kebersihan, kelestarian alam sekitar, landskap dan keceriaan.

Melalui aspek itu, tujuh program dilaksanakan di bawahnya seperti pemeriksaan dan pemusnahan Aedes, program kompos sisa organik, cabaran minda hijau, landskap kreatif serta pemeriksaan juga penarafan bintang tandas sekolah.