Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Zac dan Acosta mahu bantu PKNS FC julang kejuaraan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 JAN: Musim membanggakan beraksi di Liga Malaysia pada 2017 menjadi antara faktor buat pemain kelahiran Australia, Zachary Anderson untuk terus kekal bermain di sini dan memilih PKNS FC sebagai pasukan baru musim ini.

Katanya, walaupun menerima tawaran beberapa kelab A-League di negaranya, beliau menyifatkan saingan lebih kompetitif di Malaysia dan berharap mampu memberikan persembahan terbaik khususnya dalam aksi bersama pemain tempatan.

“PKNS FC mempamerkan persembahan yang baik pada musim 2017 dengan pemain muda. Suasana latihan juga baik dan kita optimis untuk melalui musim ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Zac adalah pemain pertahanan Kedah pada musim lalu yang berjaya menjulang Piala Sumbangsih dan Piala FA selain layak ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia.

Sebagai pemain import, katanya, menjadi tanggungjawab buatnya untuk menyumbang pengalaman bersama pemain tempatan bagi membantu merancakkan saingan liga dan pasukan kebangsaan.

Menyentuh khabar angin mengaitkan perpindahan bekas rakan sepasukan di Kedah Ken Ilso ke PKNS FC, Zac berpandangan beliau adalah pemain itu mempunyai kualiti yang boleh membantu pasukan, bahkan mereka turut berkawan baik.

Sementara itu bagi seorang lagi pemain import, Jonatan Leonel Acosta dari Argentina berharap dapat membantu Red Ants menjulang satu piala musim ini.

“Saya lihat banyak pemain muda berbakat dalam pasukan ini. Saya suka untuk bermain bersama mereka dan cuba untuk menjaringkan lebih banyak gol musim ini,” katanya.

Kedua-dua pemain menandatangani kontrak selama setahun bersama PKNS FC dan diperkenalkan secara rasmi semalam dalam satu majlis yang disertai Jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal dan Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid sambil disaksikan Setiausha PKNS FC Md Adi Harmizi Ariffin di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.