Categories
RENCANA SELANGOR

Pentadbiran Selangor ikon profesionalisme negeri lain

OLEH NAZLI IBRAHIM

Sehebat mana kewibawaan atau profesionalisme anggota sektor perkhidmatan awam dalam kerajaan, ia tetap tidak akan dapat berfungsi dengan efisien jika tidak mendapat sokongan badan eksekutif kerajaan itu.

Begitu juga sehebat mana dasar dan program rakyat diperkenalkan badan eksekutif sesebuah kerajaan, ia sukar dilaksanakan jika tiada sokongan kakitangan awam yang profesional dan berintergriti.

Malah, lebih buruk jika anggota perkhidmatan awam yang ada lebih berminat menajalankan kerja mensabotaj dasar kerajaan, sekali gus memberi imej buruk di mata rakyat.

Kegagalan anggota perkhimatan awam dan badan eksekutif bekerjasama menyebabkan rakyat di negeri yang diterajui kerajaan itu mendorong kepada pentadbiran lemah dan tidak memuaskan.

Demikianlah pentingnya peranan dimainkan kedua pihak, iaitu badan eksekutif dan penjawat awam bagi memastikan kepentingan rakyat dalam semua aspek terjamin.

Dalam konteks pentadbiran kerajaan di negara ini, Kerajaan Selangor boleh dianggap sebagai model terbaik bagaimana kerjasama erat antara kedua pihak berjaya memberi manfaat maksimum kepada rakyatnya.

Berbeza dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diterajui Barisan Nasional (BN), Selangor berkerjasama dengan anggota perkhidmatan awam termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri yang dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), di bawah Kerajaan Persekutuan.

Fasa peralihan kuasa di Selangor

Walaupun terdapat sedikit kecelaruan pada peringkat awal Pakatan mengambil alih pentadbiran daripada BN pada 2008, namun pentadbiran negeri terkaya itu semakin lancar ekoran sikap profesionalisme kedua belah pihak.

Keadaan itu turut dirasai Dato’ Noordin Sulaiman sebelum dilantik ke jawatan Pegawai Kewangan Negeri, pada 1 November 2012.

Menurut Noordin, setiap kakitangan perkhidmatan awam di Selangor harus memiliki sikap profesionalisme tinggi untuk menjalankan tanggungjawab dengan mengenepikan idealogi politik, sekali gus memastikan rakyat mendapat manfaat semaksimum mungkin ke atas dasar dijalankan Kerajaan Negeri.

“Soal pembentukan kerajaan ini perlu menjadi kenangan kerana pada 2008, kerajaan baru mengambil alih pentadbiran negeri.

“Memang ada perbezaan dari segi pendekatan juga dasar berbanding tahun sebelumnya menyaksikan hasil negeri sedikit demi sedikit dapat ditingkatkan.

“Kemudian pada 2014 berlaku satu lagi peralihan dalaman kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan di sini pendekatan juga lebih hampir kepada program dan dasar mendekati keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, anggota perkhidmatan awam perlu terus mendukung dasar dibawa kepimpinan baru supaya rakyat dapat diperkasakan dalam bidang diceburi.

Katanya, hubungan baik antara penjawat awam Selangor dan barisan kepimpinan negeri diumpamakan ‘tidak bertepuk sebelah tangan’ apabila Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Mohamed Azmin turut memberi sokongan sepenuhnya kepada beliau.

Keadaan itu memberi kesan besar terhadap kelancaran perkhidmatan awam, di Selangor.

Selain mendapat sokongan padu Kerajaaan Negeri, memang tidak menghairankan apabila pada 2017, Mohamed Azmin memberi bonus tiga bulan gaji kepada kakitangan perkhidmatan awam, di Selangor sebagai menghargai kerja keras dimainkan golongan berkenaan.

Noordin contoh terbaik penjawat awam

Noordin yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam selama 36 tahun dan 30 hari sebelum bersara wajib, pada 29 Disember lalu merupakan salah satu contoh terbaik intergiriti serta profesionalisme yang harus dimiliki penjawat awam.

Pada awal perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat di bawah BN ketika diterjui mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, di Jabatan Perdana Menteri, pada 1981.

Beliau juga pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pegawai Daerah Klang, Penolong Ketua Pegawai Daerah dan Setiausaha Majlis Bandaraya Shah Alam.

Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), pada 2006 juga di bawah Umno-BN yang diterajui Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo.

Pada 2008, tanpa diduga kebanyakan pihak berlaku peralihan kuasa daripada BN kepada Pakatan.

Walaupun pada masa itu timbul sedikit konflik pengurusan di awal pentadbiran, namun semangat profesionalisme yang menjadi pegangannya tanpa berkiblatkan mana-mana idealogi politik membuatkan beliau tenang menghadapinya.

Pada 2012, beliau mendapat kepercayaan menduduki kerusi Pegawai Kewangan Negeri yang juga jawatan penting bagi mana-mana kerajaan.

Di atas perkhidmatan cemerlangnya, pada 2002, Noordin dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) sebelum sekali dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran Dato’, pada 2006.