Categories
SELANGOR

‘Pulau Indah 180’ layak masuk kalendar sukan Negara

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 JAN: ‘Pulau Indah 180’ anjuran Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) mendapat sambutan luar jangkaan sekali gus dilihat mampu memperkukuh jenama berkenaan untuk tersenarai dalam kalendar sukan negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas berkata, acara kayuhan edisi ketiga yang bakal berlangsung pada Ahad ini terus menerima penyertaan walaupun selepas tarikh tutup, 10 Disember lalu.

Katanya, perkembangan itu jelas membuktikan acara yang terhad kepada 1,000 penyertaan itu semakin menawan hati pelumba dalam dan luar negara.

“Pada kali ini, hampir 100 pelumba dari lebih 20 negara terlibat antaranya United Kingdom, Australia, Singapura, Brazil, Denmark dan Mongolia.

“Keyakinan mereka menyokong usaha kami untuk menjadikan acara berbasikal tersebut bertaraf antarabangsa.

“Walaupun CSSB bukan pakar menganjur acara seumpamanya, tetapi kami terus berusaha menambah baik cabaran berbasikal itu supaya terus dilengkapi keperluan setaraf acara antarabangsa dan semua pelumba mendapat kepuasan menyertainya,” lapornya kepada Bernama.

Menyentuh soal keselamatan, Mahmud berkata, CSSB turut menjanjikan keselamatan perlumbaan dan perubatan kecemasan pada standard antarabangsa untuk setiap pelumba memperoleh pelbagai pengalaman baharu.

Namun, Mahmud turut menyarankan semua pelumba sentiasa fokus dan mengambil berat soal keselamatan diri bagi mengelak sebarang insiden berlaku memandangkan acara berbasikal agak berisiko.

Bagi memberi kelainanan pada edisi kali ini, Mahmud turut mengenakan kriteria baharu iaitu kategori berpasukan memerlukan seorang pelumba wanita bagi menggalakan lebih ramai kaum hawa melibatkan diri dalam sukan berkenaan.

“Mencari pelumba basikal wanita sebenarnya satu cabaran kerana bilangan mereka yang serius agak terhad namun kriteria itu nampaknya dipatuhi oleh 30 pasukan terlibat.

“Hasrat CSSB adalah untuk menarik lebih ramai wanita menyertai sukan seperti ini pada masa depan, ” katanya.

Terdahulu, acara kayuhan ‘Pulau Indah 180’ yang mula dianjurkan pada 2016 berjaya mengumpulkan lebih 2,000 peserta dalam dan luar negara untuk berlumba sejauh 180 kilometer (km) bermula di ibu pejabat CSSB Pulau Indah dan mencakupi sebahagian kawasan Selangor.

Acara yang bertujuan mempromosi projek pembangunan CSSB itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM40,000 untuk direbut peserta menerusi lima kategori iaitu Terbuka Lelaki (18 hingga 35 tahun), Terbuka Wanita (18 tahun ke atas), Junior Master (35 ke 44 tahun), Master (45 tahun ke atas) dan berpasukan.