Categories
SELANGOR

Laguna Park bakal dibangun kawasan rekreasi

KLANG, 22 JUL: Laguna Park yang terletak di Pulau Indah bakal dibangunkan sebagai pusat rekreasi dan sukan air serta akan dibuka kepada umum mulai tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mohamad Razif Abdul Wahab berkata, Laguna Park adalah termasuk sebahagian daripada projek CSSB dinamakan sebagai Selangor Bio Bay.

Katanya, Laguna Park meliputi lebih 404 hektar kawasan dengan sebahagian besarnya digunakan untuk perindustrian, perumahan dan pembangunan bercampur serta taman rekreasi.

“Sepanjang pantai ini nanti akan terdapat kawasan komersial dan pelbagai kemudahan masyarakat termasuk projek kediaman yang kita rasakan dalam jangka masa lima hingga 10 tahun mampu mencapai lebih 15,000 populasi yang akan menetap di Pulau Indah.

“Kita juga mempunyai perancangan untuk bertemu dengan beberapa pemain industri supaya mereka dapat membina pembangunan mengikut kesesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Restoran Rahmat Tan (Laguna Park) di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mohamad Yasid Bidin dan Ketua Pegawai Pembangunan CSSB, Noor Azhuril Adnan.

Sementara itu, Mohamad Yasid berkata, apabila wujudnya pertumbuhan pembangunan di Laguna Park beliau optimis akan ada pemain industri lain untuk bersama mengembangkan lagi sektor pelancongan atau perindustrian di sini.

Katanya, pelbagai kemudahan disediakan di sini selain restoran terdapat juga jeti menyediakan kemudahan bot, aktiviti memancing, trek basikal dan taman permainan.

“Kita sememangnya bercadang untuk mewujudkan tempat rekreasi atau kawasan tumpuan orang awam terutamanya pada hari minggu yang dibuka secara percuma.

“Sebenarnya kawasan ini sudah lama terbiar jadi memang kita mahu membangunkan kerana di Klang ini masih banyak tempat menarik tidak diketahui umum,” katanya.

Categories
SELANGOR

‘Pulau Indah 180’ layak masuk kalendar sukan Negara

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 JAN: ‘Pulau Indah 180’ anjuran Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) mendapat sambutan luar jangkaan sekali gus dilihat mampu memperkukuh jenama berkenaan untuk tersenarai dalam kalendar sukan negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas berkata, acara kayuhan edisi ketiga yang bakal berlangsung pada Ahad ini terus menerima penyertaan walaupun selepas tarikh tutup, 10 Disember lalu.

Katanya, perkembangan itu jelas membuktikan acara yang terhad kepada 1,000 penyertaan itu semakin menawan hati pelumba dalam dan luar negara.

“Pada kali ini, hampir 100 pelumba dari lebih 20 negara terlibat antaranya United Kingdom, Australia, Singapura, Brazil, Denmark dan Mongolia.

“Keyakinan mereka menyokong usaha kami untuk menjadikan acara berbasikal tersebut bertaraf antarabangsa.

“Walaupun CSSB bukan pakar menganjur acara seumpamanya, tetapi kami terus berusaha menambah baik cabaran berbasikal itu supaya terus dilengkapi keperluan setaraf acara antarabangsa dan semua pelumba mendapat kepuasan menyertainya,” lapornya kepada Bernama.

Menyentuh soal keselamatan, Mahmud berkata, CSSB turut menjanjikan keselamatan perlumbaan dan perubatan kecemasan pada standard antarabangsa untuk setiap pelumba memperoleh pelbagai pengalaman baharu.

Namun, Mahmud turut menyarankan semua pelumba sentiasa fokus dan mengambil berat soal keselamatan diri bagi mengelak sebarang insiden berlaku memandangkan acara berbasikal agak berisiko.

Bagi memberi kelainanan pada edisi kali ini, Mahmud turut mengenakan kriteria baharu iaitu kategori berpasukan memerlukan seorang pelumba wanita bagi menggalakan lebih ramai kaum hawa melibatkan diri dalam sukan berkenaan.

“Mencari pelumba basikal wanita sebenarnya satu cabaran kerana bilangan mereka yang serius agak terhad namun kriteria itu nampaknya dipatuhi oleh 30 pasukan terlibat.

“Hasrat CSSB adalah untuk menarik lebih ramai wanita menyertai sukan seperti ini pada masa depan, ” katanya.

Terdahulu, acara kayuhan ‘Pulau Indah 180’ yang mula dianjurkan pada 2016 berjaya mengumpulkan lebih 2,000 peserta dalam dan luar negara untuk berlumba sejauh 180 kilometer (km) bermula di ibu pejabat CSSB Pulau Indah dan mencakupi sebahagian kawasan Selangor.

Acara yang bertujuan mempromosi projek pembangunan CSSB itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM40,000 untuk direbut peserta menerusi lima kategori iaitu Terbuka Lelaki (18 hingga 35 tahun), Terbuka Wanita (18 tahun ke atas), Junior Master (35 ke 44 tahun), Master (45 tahun ke atas) dan berpasukan.

Categories
SELANGOR

CSSB tolak suapan, amalan bodek

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 4 JUL: Pemberian hadiah berupa hamper atau barangan mewah lain sama sekali tidak diterima di Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmud Abbas berkata, ia bagi menjamin keluhuran integriti kakitangannya dalam mengendalikan sesuatu urusan atau projek.

Katanya, kakitangan CSSB juga menerima pendapatan dan insentif mencukupi bagi menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan penuh integriti tanpa perlu suapan luar.

CSSB“Mereka memperoleh bonus yang baik daripada CSSB, gaji cukup, makan cukup jadi jika misalnya ada kakitangan yang menghulurkan kad kredit untuk kontraktor bayarkan, mohon sampaikan terus kepada saya untuk tindakan tegas.

“Tidak perlu sebarang hadiah atau hamper dihantar ke sini, kami tidak perlukan semua itu kerana apa yang kami lakukan adalah demi amanah dan bukan beroleh pendapatan menerusi cara kotor dan dilaknat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan pada Majlis Menandatangani Penganugerahan Kerja Infrastruktur Fasa 3C kepada KPS-HCM Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Mahmud berkata, beliau mengingatkan perkara itu kerana pernah menerima pelbagai jenis hadiah dan hamper daripada kontraktor sebelum ini.

“Semuanya saya pulangkan kecuali sekali menerima coklat, saya pada mulanya berfikir boleh lah tetapi apabila dibuka rupanya di bawah berisi i-Pad.

“Jadi, saya terus bungkus balik dan minta kakitangan pulangkan kembali kerana itu bukan budaya CSSB. Ia sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Categories
SELANGOR

CSSB tunai zakat RM500,000 bantu penduduk Pulau Indah

OLEH AFIX REDZUAN

PULAU INDAH, 31 MEI: Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) mengagihkan 3/8 bahagian zakat perniagaan bernilai RM500,000 kepada 180 asnaf dengan 158 daripadanya merupakan golongan fakir dan miskin di Pulau Indah.

Pengagihan dibuat secara terus itu merupakan cetusan idea Ketua Pegawai Eksekutif CSSB, Mahmud Abbas yang mahu menyelami sendiri kehidupan golongan asnaf fakir dan miskin selepas mendapatkan pandangan serta nasihat daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Semenjak kita beroperasi, CSSB memberikan RM300,000 kepada ketua kampung dan wang ini dibahagikan kepada orang miskin.

“Tetapi tahun ini saya membuat keputusan CSSB sendiri untuk meninjau penduduk kampung di Pulau Indah dan menyerahkan sendiri duit zakat kepada keluarga susah,” katanya.

PC (14 of 41)Selangor Kini berpeluang bersama CSSB dalam Program Pengagihan Zakat CSSB di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah dengan lapan buah keluarga mendapat bantuan membaiki kediaman sementara tiga keluarga lain mendapat kediaman baru.

“Kita melantik kontraktor membina serta membaiki rumah asnaf yang rosak. Ada rumah yang kita gantikan dinding, bumbung dan pintu. Kalau rumah mempunyai ahli keluarga yang ramai, kita tambahkan sebuah lagi bilik untuk keselesaan anak-anak.

“Untuk rumah baru, kita ambil reka bentuk daripada Lembaga Zakat dengan ukuran 25×20 dan Insya-Allah dijangka siap sepenuhnya selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Selain itu, CSSB turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri bernilai RM1,000 serta barangan keperluan berbentuk makanan dan minyak masak.

PC (35 of 41)Mahmud berkata, CSSB berhasrat mengagihkan lebih banyak zakat tahun hadapan sekiranya berjaya memperoleh keuntungan memberangsangkan.

“Kita pun ada perancangan atau pembangunan baru Selangor Bio Bay dan saya nampak keuntungan syarikat boleh bertambah.

“Dalam pembangunan ini kita akan peruntukkan tanah-tanah yang sedia ada untuk mereka kekal mendiami kawasan berkenaan bahkan CSSB bakal membina gerai untuk membantu mereka meningkatkan taraf kehidupan.

“Kita tidak mahu maju bersendirian sedangkan masyarakat sekeliling tidak mendapat manfaat. Mengikut syarat yang diberi Kerajaan Negeri, orang sekeliling perlu bersama-sama mendapat manfaat daripada sesebuah pembangunan,” katanya. PC (27 of 41) PC (23 of 41) PC (17 of 41) PC (10 of 41)