Categories
SELANGOR

Sambutan Ambang Tahun Baru 2018 meriah

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 1 JAN: Sambutan Ambang Tahun Baru 2018 peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan, di sini berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat, malam tadi.

Penolong Setiausaha (Pembangunan Sosial), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, Daniyal Mat Jusoh berkata, program berkenaan adalah anjuran Jawatan Kuasa Tetap Pendidikan Pembangunan Modal Insan, Sains Tekhnologi dan Inovasi.

“Dianggarkan kira-kira 60,000 orang menyertai sambutan ambang tahun baru malam ini.

“Antara pengisian program adalah solat jemaah, tazkirah, persembahan lagu ketuhanan, zikir munajat dan forum.

“Selain itu, turut diadakan konsert Gempak Selangor bersempena sambutan ambang tahun baru 2018 yang menampilkan selebriti seperti Haqiem Rusli, Syamel, Siti Nordiana, UNIC, Black dan ramai lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Sambutan itu diadakan dalam program Gempak Selangor yang berlangsung selama dua hari sehingga tengah malam, semalam.

Selain itu, antara pengisian program adalah Selangor Job Fair 2017, Smart Teachers Motivational Seminar, pertandingan catur, pertandingan nasyid, pertandingan mewarna, pertandingan karaoke (tema kemanusiaan), Parenting Skill dan cabutan bertuah.