Categories
NASIONAL

Touch ‘n Go bakal tawar e-dompet mudah alih

SHAH ALAM, 9 JAN: Anak syarikat CIMB Group Holdings Bhd, Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memperkenalkan dan mengendali perkhidmatan e-dompet mudah alih.

CIMB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perkhidmatan yang menggunakan landasan teknologi Alipay itu akan diuruskan TNG Digital Sdn Bhd, syarikat usaha samanya dengan Ant Financial Group (Ant Financial).

Teknologi pembayaran Alipay daripada Ant Financial, pada masa sekarang menyokong lebih dari 450 juta pengguna di China.

E-dompet mudah alih itu akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati pengalaman ekosistem pembayaran yang selamat, selesa dan lancar melalui penggunaan kod tindakan segera bagi membeli-belah dalam talian, membuat pembayaran bil, runcit termasuk pemindahan dana dengan landasan serupa.

Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat menjangkakan pelanggan semasanya yang terdiri daripada pengguna tol lebuh raya, transit dan tempat meletak kenderaan akan mendaftar segera bagi menikmati tambahan dalam perkhidmatan berkenaan.

“Dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk mempercepatkan pembentukan ekosistem pembayaran digital yang kukuh dan selamat, kami amat teruja selepas menerima kelulusan bagi e-dompet ini.

“Pada hari ini, Touch ‘n Go adalah peneraju nombor satu dalam pembayaran mikro dan kami berpendapat bahawa tawaran ini adalah penambahan dalam usaha memperkukuhkan cadangan nilai kami dan seterusnya, mengerakkan negara serta pelanggan kami ke alam digital pembayaran,” katanya.

TNGSB memegang hak harta intelek sistem Touch ‘n Go, yang juga adalah piawaian de facto kepada kad pintar tanpa sentuhan di Malaysia.

Syarikat terbabit dimiliki CIMB, MTD Equiti Sdn Bhd dan PLUS Expressways Bhd.

*Sumber: BERNAMA