Categories
AGENDA NASIONAL

Touch n’ Go sedia petugas bantu lancarkan vaksin Selangor

SHAH ALAM, 6 JULAI: Touch n’ Go membantu melancarkan Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri dengan menyediakan petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) selama beberapa hari.

Ketua pegawai Sumber Manusia berkata mereka ditempatkan di PPV Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya pada hari kakitangan syarikat itu menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 28 dan 29 Jun serta 1 Julai lalu.

Menurut Erlny Greiss, Kumpulan Touch n’ Go menyokong inisiatif Kerajaan Negeri dengan menaja kakitangannya mendapat suntikan bagi membantu mencapai sasaran imuniti kelompok untuk memutuskan penularan Covid-19.

“Kami menyedari kepentingan vaksin dan mengalakkan kakitangan mendapatkannya bagi melindungi diri serta insan tersayang mereka,” katanya hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika melancarkan Selvax Industri pada 30 Jun lalu mengumumkan beberapa syarikat besar menyertai program pemberian dua juta dos vaksin kepada satu juta pekerja.

Selain Touch n’ Go, syarikat besar menyertai Selvax Industri antaranya 99 Speed Mart, Ernst & Young, Telekom Malaysia, EcoWorld dan Tropicana.

Usaha Kerajaan Negeri bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitarnya memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDHS, Touch n’ Go jalin kerjasama galak peniaga guna e-dompet

SHAH ALAM, 9 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjalin kerjasama dengan Touch n’ Go Sdn Bhd dalam usaha menyokong urus niaga tanpa tunai.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) berkata pada majlis yang berlangsung pada Rabu, wakil Touch n’ Go dijemput memberikan taklimat secara dalam talian kepada peniaga.

“MDHS sebelum ini sebagai perintis masyarakat tanpa tunai sangat menggalakkan semua peniaga menggunakan e-dompet sebagai salah satu kaedah urus niaga,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, PBT itu melancarkan undian tapak bazar Ramadan secara atas talian menerusi Facebook rasminya.

Katanya, sesi cabutan undi dilakukan Ahli Majlis kawasan bagi mewakili peniaga dan senarai lengkap mereka yang berjaya dipaparkan di laman sesawang http://www.mdhs.gov.my.

Malah, Yang Dipertua Dr Mohd Azhar Mohamed Ali menyarankan peniaga lebih proaktif dan kreatif memasarkan perniagaan menerusi media sosial ataupun menggunakan khidmat penghantar makanan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kempen sedekah Yide guna e-dompet Touch ‘n Go cecah RM9,000

SHAH ALAM, 24 FEB: Program infaq Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) melalui e-dompet Touch ‘n Go berjaya mengumpul RM9,000 setakat ini.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan menggunakan aplikasi itu memudahkan urusan sedekah secara dalam talian.

“Kaedah terbaharu ini secara tidak langsung membantu Yide lebih aktif melancarkan aktiviti kebajikan khususnya di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang ingin menyumbang perlu perlu mengimbas kod QR di laman web https://yide.com.my/2020/09/08/touchngo-e-wallet/.

Pada November tahun lalu, Yide turut melancarkan kempen infaq melalui laman e-dagang terkemuka Shopee yang mencecah kutipan RM2,000 setakat 4 Februari.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Boleh bayar tol guna RFID di Lebuhraya LEKAS bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Mulai hari ini, pengguna Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) boleh menggunakan teknologi ‘Radio Frequency Identification’ (RFID) di semua plaza tol lebuh raya itu.

Menurut satu kenyataan LEKAS, pembayaran tol secara RFID dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol memandangkan pengguna tidak perlu lagi berhenti menyentuh kad di panel kad Touch ‘n Go dan boleh menggunakannya di semua plaza tol LEKAS sama ada sistem tol terbuka atau tertutup.

Menurut LEKAS, sistem RFID adalah mod pembayaran elektronik terkini yang diperkenalkan di semua lebuh raya sistem tol terbuka pada Januari tahun ini, tambahan kepada cara pembayaran sedia ada kad Touch n’ Go dan SmartTAG.

Kenyataan itu mengingatkan pengguna lebuh raya yang telah mempunyai pelekat RFID agar sentiasa memastikan e-dompet mereka mempunyai baki mencukupi bagi menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.

“Dengan RFID, pengguna dapat membuat transaksi bayaran tol dengan lebih mudah dan selesa, malah tiada kos penyelenggaraan memandangkan pelekat RFID tidak memerlukan bateri.

“Tambah nilai boleh dibuat dalam talian kerana sistem RFID menggunakan pelekat yang dihubungkan dengan e-dompet Touch n’ Go…ini memudahkan orang ramai membuat transaksi tambah nilai tanpa perlu ke pusat khidmat pelanggan atau lokasi tambah nilai,” menurut kenyataan itu.

Memandangkan pelekat RFID ditampal pada kenderaan, ia tidak mudah hilang atau mempunyai masalah diletak terbalik atau bateri lemah seperti ‘On Board Unit’ SmartTAG.

Mereka yang hendak mendapatkan pelekat RFID atau ingin maklumat lanjut, boleh melayari rfid.touchngo.com.my.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Touch ‘n Go bakal tawar e-dompet mudah alih

SHAH ALAM, 9 JAN: Anak syarikat CIMB Group Holdings Bhd, Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memperkenalkan dan mengendali perkhidmatan e-dompet mudah alih.

CIMB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perkhidmatan yang menggunakan landasan teknologi Alipay itu akan diuruskan TNG Digital Sdn Bhd, syarikat usaha samanya dengan Ant Financial Group (Ant Financial).

Teknologi pembayaran Alipay daripada Ant Financial, pada masa sekarang menyokong lebih dari 450 juta pengguna di China.

E-dompet mudah alih itu akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati pengalaman ekosistem pembayaran yang selamat, selesa dan lancar melalui penggunaan kod tindakan segera bagi membeli-belah dalam talian, membuat pembayaran bil, runcit termasuk pemindahan dana dengan landasan serupa.

Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat menjangkakan pelanggan semasanya yang terdiri daripada pengguna tol lebuh raya, transit dan tempat meletak kenderaan akan mendaftar segera bagi menikmati tambahan dalam perkhidmatan berkenaan.

“Dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk mempercepatkan pembentukan ekosistem pembayaran digital yang kukuh dan selamat, kami amat teruja selepas menerima kelulusan bagi e-dompet ini.

“Pada hari ini, Touch ‘n Go adalah peneraju nombor satu dalam pembayaran mikro dan kami berpendapat bahawa tawaran ini adalah penambahan dalam usaha memperkukuhkan cadangan nilai kami dan seterusnya, mengerakkan negara serta pelanggan kami ke alam digital pembayaran,” katanya.

TNGSB memegang hak harta intelek sistem Touch ‘n Go, yang juga adalah piawaian de facto kepada kad pintar tanpa sentuhan di Malaysia.

Syarikat terbabit dimiliki CIMB, MTD Equiti Sdn Bhd dan PLUS Expressways Bhd.

*Sumber: BERNAMA