Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bazar Ramadan: Peniaga MBSJ wajib sedia e-dompet, cegah penularan wabak

PUCHONG, 8 MAC : Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mewajibkan peniaga bazar Ramadan di bawah pentadbirannya menggunakan transaksi tanpa tunai sepenuhnya.

Datuk Bandar Dato’ Johary Anuar berkata penggunaan e-dompet itu bertujuan mengurangkan sentuhan dan mengekang penularan wabak Covid-19.

“Pihak MBSJ akan membuat semakan dan pemantauan bagi memastikan semua peniaga menyediakan kemudahan e-dompet di gerai masing-masing.

“Usaha ini juga diharap agar lebih ramai pengunjung bazar dapat mempraktikkan amalan tanpa tunai di samping menjadikan kaedah tersebut sebagai pembayaran utama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Menurutnya, semua peniaga juga diwajib mempamerkan jenis saluran e-dompet yang boleh diguna oleh pelanggan di gerai masing-masing.

Beliau berkata MBSJ turut bekerjasama dengan rakan sinergi bagi menjayakan kaedah tanpa tunai itu antaranya Maybank Berhad, AmBank Islamic Berhad, Touch n Go dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Tahun ini, seramai 764 peniaga di 16 lokasi bazar Ramadan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

Pada 26 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor akan melancarkan perkhidmatan e-dompet pada tahun ini bagi mewujudkan komuniti nirtunai (tanpa tunai).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor e-Wallet Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan usahasama dengan syarikat e-dompet sedia ada.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor perkenal e-dompet, permudah bantuan kepada rakyat

SHAH ALAM, 14 FEB: Penerima bantuan Kerajaan Selangor selepas ini menerima sumbangan menerusi e-dompet sekali gus mempercepat agihan kepada golongan sasar.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif itu bertujuan memudahkan urusan serta menjimatkan masa penerima yang amat memerlukan bantuan.

“Jika perancangan berjalan baik ia akan dilancar dengan pengumuman nama e-dompet itu dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Inisiatif ini juga meningkatkan kecekapan perkhidmatan antara kerajaan, rakyat serta industri kecil dan sederhana yang lengkap dalam satu dompet digital,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memeterai perjanjian pelaburan bagi pembangunan e-dompet bersama pengasas Kumpulan Syarikat Wavpay,Tan Chun Aik di Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini.

Beliau berkata e-dompet itu akan menghimpunkan semua perkhidmatan perniagaan kerajaan Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun dan anak syarikat negeri.

“Aktiviti seperti pembayaran cukai kepada pihak berkuasa tempatan dan pembayaran parkir tanpa tunai juga boleh dilaksanakan melalui platform ini,” katanya.

Pada Belanjawan 2022 yang dibentang November lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor akan melancarkan perkhidmatan e-dompet bagi mewujudkan komuniti nirtunai (tanpa tunai).

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Selangor e-Wallet Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan usahasama dengan syarikat e-dompet sedia ada.

Categories
AGENSI SELANGOR

e-Dompet bantu golongan sasar dapat segera bantuan negeri

SHAH ALAM, 5 DIS: Langkah Kerajaan Selangor memperkenal e-dompet pada tahun depan mampu mempercepat dan memudahkan agihan bantuan kepada golongan sasar.

Pesara swasta Khairul Azwan Ismail berkata golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal hanya perlu menggunakan satu plaftorm untuk menebus inisiatif negeri.

Pesara swasta Khairul Azwan Ismail

“Kalau ikut pengumuman, semua bantuan negeri boleh ditebus menerusi e-dompet, jadi lebih mudah. Usaha ini juga selaras perkembangan semasa dunia yang banyak memperkenal transaksi tanpa tunai,” katanya.

Penyelia Pusat Wanita Berdaya Pelabuhan Klang Susilawati Abd Rahim pula berpendapat langkah itu memudahkan urusan seharian masyarakat tanpa memerlukan banyak dokumen.

“Mudah sahaja dengan aplikasi, semua urusan boleh dijalankan secara dalam talian,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 mengumumkan pelancaran perkhidmatan e-dompet pada awal tahun depan.

Melaluinya, semua urusan berkait kerajaan diletakkan dalam satu platform selain agihan bantuan kebajikan kepada rakyat serta mewujudkan pasaran dalam talian untuk peniaga kecil dan sederhana.

Bantuan kepada penerima Iltizam Selangor Penyayang seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor dan Iltizam Selangor Sihat juga disalurkan melalui aplikasi tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SELangkah perkenal e-dompet, galak masyarakat lakukan transaksi tanpa tunai

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Kemudahan e-dompet dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) mampu mengurangkan sentuhan antara individu sekali gus mengekang penularan Covid-19.

Ketua pegawai eksekutif Selgate Healthcare berkata inisiatif bermula bulan lalu itu juga seiring dengan keperluan masyarakat untuk memasuki era endemik tidak lama lagi.

“Aplikasi e-dompet ini menggalakkan ahli SELangkah menggunakan transaksi tanpa tunai dan dapat mengurangkan sentuhan yang mungkin berisiko memberi jangkitan virus.

“Ini antara langkah diambil Kerajaan Selangor dalam mengekang dan melawan Covid-19,” kata Dr Muaz Omar ketika majlis pelancaran e-dompet di Sentul Depot, dekat sini.

Jelasnya kemudahan berkenaan boleh digunakan di pelbagai premis antaranya syarikat telco, Burger King dan kedai serbaneka KK Super Mart serta 99 Speedmart.

“Beberapa agensi dari luar Selangor turut menjadi rakan niaga SELangkah dan ada beribu lagi syarikat yang dalam proses integrasi,” katanya.

Beliau berkata lebih banyak lagi penambahan fungsi SELangkah pada masa akan datang bagi memudahkan urusan masyarakat.

“Mulanya aplikasi ini untuk penjejakan kontak dan saringan sahaja tetapi kita rasa perlu untuk mengevolusikannya. Dari matlamat menyelamatkan nyawa sekarang beralih kepada menyelamatkan kehidupan,” katanya.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei 2020 bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat sekali gus memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Aplikasi itu terus diperkemas dengan menawarkan kemudahan tempahan janji temu saringan Covid-19 dan pembelian kit ujian kendiri.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDHS, Touch n’ Go jalin kerjasama galak peniaga guna e-dompet

SHAH ALAM, 9 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjalin kerjasama dengan Touch n’ Go Sdn Bhd dalam usaha menyokong urus niaga tanpa tunai.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) berkata pada majlis yang berlangsung pada Rabu, wakil Touch n’ Go dijemput memberikan taklimat secara dalam talian kepada peniaga.

“MDHS sebelum ini sebagai perintis masyarakat tanpa tunai sangat menggalakkan semua peniaga menggunakan e-dompet sebagai salah satu kaedah urus niaga,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, PBT itu melancarkan undian tapak bazar Ramadan secara atas talian menerusi Facebook rasminya.

Katanya, sesi cabutan undi dilakukan Ahli Majlis kawasan bagi mewakili peniaga dan senarai lengkap mereka yang berjaya dipaparkan di laman sesawang http://www.mdhs.gov.my.

Malah, Yang Dipertua Dr Mohd Azhar Mohamed Ali menyarankan peniaga lebih proaktif dan kreatif memasarkan perniagaan menerusi media sosial ataupun menggunakan khidmat penghantar makanan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor sasar 300,000 peniaga guna e-dompet tahun ini

SEPANG, 7 APRIL: Kerajaan Selangor menyasarkan 300,000 peniaga kecil mendaftar dan menggunakan e-dompet sehingga penghujung tahun ini.

EXCO perumahan, kesejahteraan dan hartanah berkata konsep itu diperkenal pada 2019 namun terdapat sedikit kekangan menyebabkan ia terlewat dilaksanakan.

“Sepanjang dua tahun ini kita dapati golongan peniaga kecil paling lambat untuk terlibat. Apabila kita buat kajian didapati mereka belum bersedia dan tidak faham.

Rodziah Ismail menyampaikan bantuan makanan kepada pemandu teksi di Dataran BBST Walk di Sepang pada 7 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGOKINI

“Jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan seorang pegawai khas akan bawa perkara ini ke bawah dan yang dapat lesen perlu melalui khusus e-dompet supaya mereka faham,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan kepada pemandu teksi dan bas sekolah peringkat Majis Perbandaran Sepang di Dataran BBST Walk di sini, hari ini.

Katanya, antara kesulitan dihadapi peniaga kecil menggunakan e-dompet adalah mereka berdepan kesukaran mendapatkan wang tunai segera bagi dijadikan modal untuk keesokan harinya.

“Sekarang ini kita gunakan e-dompet yang sedia ada tetapi ia diluar kawalan Kerajaan Selangor dan dijangka Kerajaan Negeri akan mengeluarkan sendiri e-dompet yang lebih mesra peniaga,” katanya.

Ditanya sama ada Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan dengan tidak membenarkan peniaga memperbaharui lesen jika gagal mendaftar e-dompet Rodziah berkata pihaknya tidak bercadang berbuat demikian.

“Kita lebih kepada advokasi terlebih dahulu, itu lebih penting… kita bimbing dulu kerana tanpa ada bimbingan ia akan lambat,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Kempen sedekah Yide guna e-dompet Touch ‘n Go cecah RM9,000

SHAH ALAM, 24 FEB: Program infaq Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) melalui e-dompet Touch ‘n Go berjaya mengumpul RM9,000 setakat ini.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan menggunakan aplikasi itu memudahkan urusan sedekah secara dalam talian.

“Kaedah terbaharu ini secara tidak langsung membantu Yide lebih aktif melancarkan aktiviti kebajikan khususnya di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang ingin menyumbang perlu perlu mengimbas kod QR di laman web https://yide.com.my/2020/09/08/touchngo-e-wallet/.

Pada November tahun lalu, Yide turut melancarkan kempen infaq melalui laman e-dagang terkemuka Shopee yang mencecah kutipan RM2,000 setakat 4 Februari.

 

Categories
PBT SELANGOR

Bayar bil MBSJ guna e-dompet di stesen minyak

SHAH ALAM, 14 FEB: Orang ramai kini boleh membayar bil Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi aplikasi e-dompet iaitu Touch ‘n Go dan Zapp.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategiknya berkata bayaran itu membabitkan cukai taksiran, sewaan majlis dan bil air bagi gerai milik MBSJ.

Menurut Azfarizal Abdul Rashid, transaksi boleh dilakukan di stesen minyak iaitu Shell, Petron dan Petronas serta kedai MyNews.

“Perkhidmatan ini adalah inisiatif MBSJ untuk memudahkan pelanggan tanpa perlu menunggu di kaunter, urusan boleh dilakukan di mana-mana sahaja menggunakan peranti elektronik.

“Keutamaan MBSJ juga adalah untuk memperkasakan perkhidmatan secara dalam talian sekali gus memudahkan urusan pelanggan,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Boleh bayar tol guna RFID di Lebuhraya LEKAS bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Mulai hari ini, pengguna Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) boleh menggunakan teknologi ‘Radio Frequency Identification’ (RFID) di semua plaza tol lebuh raya itu.

Menurut satu kenyataan LEKAS, pembayaran tol secara RFID dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol memandangkan pengguna tidak perlu lagi berhenti menyentuh kad di panel kad Touch ‘n Go dan boleh menggunakannya di semua plaza tol LEKAS sama ada sistem tol terbuka atau tertutup.

Menurut LEKAS, sistem RFID adalah mod pembayaran elektronik terkini yang diperkenalkan di semua lebuh raya sistem tol terbuka pada Januari tahun ini, tambahan kepada cara pembayaran sedia ada kad Touch n’ Go dan SmartTAG.

Kenyataan itu mengingatkan pengguna lebuh raya yang telah mempunyai pelekat RFID agar sentiasa memastikan e-dompet mereka mempunyai baki mencukupi bagi menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.

“Dengan RFID, pengguna dapat membuat transaksi bayaran tol dengan lebih mudah dan selesa, malah tiada kos penyelenggaraan memandangkan pelekat RFID tidak memerlukan bateri.

“Tambah nilai boleh dibuat dalam talian kerana sistem RFID menggunakan pelekat yang dihubungkan dengan e-dompet Touch n’ Go…ini memudahkan orang ramai membuat transaksi tambah nilai tanpa perlu ke pusat khidmat pelanggan atau lokasi tambah nilai,” menurut kenyataan itu.

Memandangkan pelekat RFID ditampal pada kenderaan, ia tidak mudah hilang atau mempunyai masalah diletak terbalik atau bateri lemah seperti ‘On Board Unit’ SmartTAG.

Mereka yang hendak mendapatkan pelekat RFID atau ingin maklumat lanjut, boleh melayari rfid.touchngo.com.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PBT digesa bantu peniaga guna e-dompet mulai tahun depan

SHAH ALAM, 14 DIS: EXCO pembangunan usahawan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor melaksanakan program membantu peniaga menggunakan sistem e-dompet bermula tahun depan.

Rodziah Ismail berkata sehingga kini hanya 40 peratus peniaga pasar pagi, pasar malam dan medan selera menggunakan sistem tanpa tunai berkenaan.

“Oleh itu, bermula tahun depan saya harap semua PBT membantu peniaga untuk menggunakan sistem e-dompet ini ketika menjalankan perniagaan, sekali gus memudahkan pelanggan.

“Peniaga usah risau, anda boleh tampil dan kami akan bantu untuk membuat pendaftaran e-dompet berkenaan. Pelaksanaan ini selari dengan dasar Kerajaan Negeri yang mahu menjadikan masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan apron kepada peniaga di Medan Selera @15B bersama Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan aplikasi mudah alih transaksi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi menyemarakkan lagi ekosistem ekonomi digital untuk meningkatkan jumlah transaksi tanpa tunai dan memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menyediakan Agenda Ekonomi Tanpa Tunai Smart Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belia 18 hingga 20 tahun terima RM50 dalam e-dompet

SHAH ALAM, 6 NOV: Lebih 1.5 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun bakal menerima bantuan sekali bayar (one-off) berjumlah RM50 melalui Program e-Belia.

Menteri kewangan berkata pemberian melalui e-dompet dibuat selepas melihat golongan itu memainkan peranan penting sebagai pelopor dan pengguna teknologi terkini.

“Langkah ini juga sebagai membudayakan transaksi kewangan tanpa tunai. Bayaran secara one-off akan dikreditkan dengan peruntukan RM75 juta,” kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Belia turut menerima:

  • Insentif RM1,000 sebulan selama tiga bulan kepada majikan swasta bagi graduan menjalani latihan industri
  • RM19 juta untuk Agenda Nasional Malaysia Sihat bagi amalan gaya hidup sihat
  • RM28 juta untuk Program MyFit, Hari Sukan Negara dan Program Inspire bagi komuniti orang kelainan upaya (OKU)
  • RM103 juta untuk menai taraf dan menyelenggara kemudahan sukan
  • RM55 juta untuk pembangunan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita dan e-sukan
  • RM20 juta untuk pinjaman skim TEKUN Sukan
  • Had pelepasan cukai dinaikkan dari RM2,500 ke RM3,000
Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO puas hati pengunjung pasar pagi patuh SOP, galak guna e-dompet

SHAH ALAM, 24 OKT: EXCO kerajaan tempatan berpuas hati dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) oleh pengunjung ketika melawat Pasar Pagi Taman Kinrara 3, Puchong, semalam.

Ng Sze Han berkata masyarakat sudah membiasakan diri dengan SOP terutama amalan pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan awam selain berharap penggunaan e-dompet lebih meluas selepas ini.

“Hasil tinjauan mendapati orang awam rata-rata telah membiasakan diri dengan pematuhan SOP serta (memahami) kempen BELI iaitu beratur, kerapkan (guna) e-dompet, lajukan pembelian dan imbas Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan syarikat pengendali e-dompet juga giat mempromosikan norma baharu kaedah pembayaran tanpa tunai di pasar pagi dan malam bagi mengurangkan sentuhan ketika berurusan.

Dalam tinjauan sama, Sze Han yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara turut mengedarkan pelitup muka guna semula dan cecair pembasmi kuman kepada pengunjung.