Categories
GLOBAL

Zon berbahaya volkano Gunung Agung dikecilkan

JAKARTA, 5 JAN: Kerajaan Indonesia mengecilkan zon berbahaya volkano Gunung Agung, di Bali, sekali gus membolehkan beribu penduduk yang tinggal di luar zon itu kembali ke rumah masing-masing.

Agensi vulkanologi Indonesia, semalam mengumumkan zon pemindahan dari kawah gunung berapi itu dikecilkan kepada 6 kilometer (km) radius, berbanding 8 hingga 10km sebelum ini.

“Bermula semalam, zon berbahaya Gunung Agung dikurangkan kepada 6km dari kawah.

“Penduduk yang sedang berlindung di tempat lain boleh kembali ke rumah masing-masing selagi rumah mereka terletak di luar radius 6km dari kawah itu,” kata Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Ignasius Jonan, lapor BERNAMA.

Volkano Gunung Agung masih berada pada tahap amaran tertinggi kerana aktiviti seismiknya kekal tinggi, kata Ketua Agensi Geologi Indonesia Rudy Suhendar.

Kira-Kira 44,000 orang melarikan diri dari rumah masing-masing dan mencari perlindungan susulan letusan volkano Gunung Agung, demikian menurut agensi pengurusan bencana nasional Indonesia.