Categories
GLOBAL

Zon berbahaya volkano Gunung Agung dikecilkan

JAKARTA, 5 JAN: Kerajaan Indonesia mengecilkan zon berbahaya volkano Gunung Agung, di Bali, sekali gus membolehkan beribu penduduk yang tinggal di luar zon itu kembali ke rumah masing-masing.

Agensi vulkanologi Indonesia, semalam mengumumkan zon pemindahan dari kawah gunung berapi itu dikecilkan kepada 6 kilometer (km) radius, berbanding 8 hingga 10km sebelum ini.

“Bermula semalam, zon berbahaya Gunung Agung dikurangkan kepada 6km dari kawah.

“Penduduk yang sedang berlindung di tempat lain boleh kembali ke rumah masing-masing selagi rumah mereka terletak di luar radius 6km dari kawah itu,” kata Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Ignasius Jonan, lapor BERNAMA.

Volkano Gunung Agung masih berada pada tahap amaran tertinggi kerana aktiviti seismiknya kekal tinggi, kata Ketua Agensi Geologi Indonesia Rudy Suhendar.

Kira-Kira 44,000 orang melarikan diri dari rumah masing-masing dan mencari perlindungan susulan letusan volkano Gunung Agung, demikian menurut agensi pengurusan bencana nasional Indonesia.

Categories
GLOBAL

Lapangan terbang Ngurah Rai ditutup sehingga esok

AMED, BALI 29 NOV: Gunung Agung terus mengeluarkan debu memaksa pihak berkuasa Indonesia menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai masuk hari ketiga, hari ini.

Kementerian Pengangkutan Indonesia berkata, lapangan terbang kedua terbesar di Indonesia itu akan ditutup sehingga jam 7 pagi esok, lapor REUTERS?

Pihak berkuasa secara berterusan membuat penilaian risiko debu yang berterbangan dibawa angin ke seluruh pulau itu.

Beberapa kepulan asap putih dan kelabu kelihatan di puncak gunung selepas hujan menjejaskan jarak penglihatan di pulau itu terutama di waktu malam.

Tindakan menutup lapangan terbang yang terletak kira-kira 60 kilometer dari gunung itu menyebabkan kira-kira 443 penerbangan dalam dan luar negara terjejas.

Gunung yang terletak di timur Bali itu dengan ketinggian 3,000 meter, kali terakhir meletus pada 1963. Ia mengorbankan lebih 1,000 orang dan memusnah banyak kawasan perkampungan.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Majoriti pakar ramal Gunung Agung sedia meletus

PARIS 28 NOV: Majoriti pakar kajian gunung berapi berpendapat Gunung Agung di Bali, Indonesia akan meletus selepas negara itu meningkatkan amaran ke tahap tertinggi selain memindahkan kira-kira 100,000 penduduk.

“Kita sekarang menyaksikan letupan kecil, pengeluaran gas panas dan serpihan batuan lebur atau abu,” kata pakar gunung berapi di Universiti Oxford di Britain, David Pyle, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Gunung Agung mula menunjukkan letusan abu berterusan, sejak Sabtu dengan asap mencapai ketinggian 3,000 ke udara,” kata pakar geologi Universiti Adelaide di Australia, Mark Tingay.

“Letusan kini beralih ke tahap seterusnya yang lebih serius kerana lahar boleh memerangkap gas dalam tekanan dan mungkin membawa kepada letupan,” katanya.

Beberapa saintis mengesahkan petunjuk yang ada pada gunung itu menyamai letusan gunung berapi pada 1963 yang mengakibatkan 1,600 orang maut dan mengeluarkan abu kira-kira sejuta metrik tan sehingga menyebabkan purata suhu global jatuh di antara 0.2 ke 0.3 darjah celsius selama setahun.

“Berdasarkan perhatian pada 1963, aktiviti Gunung Agung kini sama permulaan letupan itu. Kemungkinan letupan besar berlaku adalah tinggi, namun ia mungkin memakan masa beberapa hari atau minggu,” kata Pyle.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Indonesia lanjut penutupan lapangan terbang Bali

JAKARTA 28 NOV: Kementerian Pengangkutan Indonesia melanjutkan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai untuk tempoh 24 jam.

Penutupan itu susulan aktiviti Gunung Berapi Agung yang mula meletus mengeluarkan debu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, laporan pihak berkuasa penerbangan tempatan menunjukkan laluan penerbangan pesawat tertutup oleh debu gunung berapi.

Penutupan dijangka berakhir menjelang jam 7 pagi waktu tempatan pada 29 November.

Sementara itu, Lapangan Terbang Lombok sudah dibuka semula selepas ditutup semalaman susulan letusan gunung berapi itu.

=EZY=

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Malaysia Airlines batalkan penerbangan Denpasar-Bali

SHAH ALAM 27 NOV: Susulan ledakan Gunung Agung di kepulauan Bali, Malaysia Airlines (MAS) membatalkan semua penerbangan antara Kuala Lumpur dan Denpasar-Bali, pada 27 November 2017.

MAS dalam satu kenyataan media berkata penumpang sudah dimaklumkan menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS), petang semalam dan nasihat penerbangan juga dimasukkan ke dalam laman web, Facebook dan Twitter Malaysia Airlines.

Syarikat penerbangan itu memantau rapi situasi dan akan menyelaras operasi penerbangannya yang keluar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai jika perlu, demikian menurut Malaysia Airlines dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.

Disebabkan situasi itu, Malaysia Airlines akan membenarkan penumpang terbabit untuk:

1. Mendapatkan bayaran balik sepenuhnya harga tiket atau penangguhan pengembaraan sehingga akhir Februari 2018.

2. Perubahan destinasi (tertakluk kepada kesediaan tempat duduk) ke Jakarta, Surabaya atau mana-mana destinasi ASEAN yang dikendalikan Malaysia Airlines.

Untuk maklumat lanjut, penumpang digalakkan menghubungi talian 1 300 88 3000 (di Malaysia) atau +603 7843 4000 (bagi luar Malaysia).

Categories
GLOBAL

Gunung Agung: Indonesia keluar amaran tahap tertinggi

JAKARTA 27 NOV: Agensi Bencana Indonesia berkata, pihaknya menaikkan amaran tahap tertinggi iaitu empat ke atas gunung berapi, Gunung Agung di Bali.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan pihak berkuasa turut mengarahkan penduduk yang berada dalam lingkungan lapan hingga sepuluh kilometer di sekeliling kawasan berkenaan supaya berpindah dengan segera.

“Debu dan letupan perlahan yang kadang-kadang dapat didengari pada jarak 12 kilometer dari puncak.

“Api dapat dilihat pada waktu malam yang menunjukkan kemungkinan letupan berlaku pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan.

“Dengan jangkaan kemungkinan dan risiko bencana Pusat Gunung Berapi dan Pencegahan Bahaya Geologi (PVMBG) menaikkan amaran dari tiga kepada empat bermula jam 6 pagi pada waktu tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Penduduk di zon selamat Gunung Berapi Agung diarah pulang

KARANGASEM, Indonesia 30 SEPT: Lebih separuh daripada 144,000 penduduk yang meninggalkan kediaman untuk berlindung di pusat pemindahan sementara berikutan amaran gunung berapi Agung bakal meletus diarah pulang.

Menurut pihak berkuasa, penduduk yang tinggal di luar zon berbahaya dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Pihak berkuasa berkata, jumlah penduduk yang meninggalkan rumah terlalu tinggi dan hanya mereka yang tinggal sembilan kilometer dari gunung itu seharusnya berada di pusat pemindahan sementara atau di rumah rakan mahupun saudara-mara.

“Tiada sebab untuk penduduk yang tinggal di zon selamat untuk berpindah. Mereka perlu kembali ke kampung masing-masing kerana mereka bakal menjadi beban,” kata Gabenor Bali I, Made Mangku Pastika.

Katanya, hanya 70,000 orang tinggal dalam jarak sembilan kilometer daripada gunung berapi yang mula aktif itu. Ini bermakna hampir separuh daripada penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing.

“Hanya penduduk dari 27 kampung perlu berpindah. Selebihnya mereka boleh pulang. Mereka boleh pulang sendiri atau dengan bantuan kerajaan,” kata jurucakap Agensi Benca Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

Katanya, Pusat pengendalian Vulkanologi dan Geologi Indonesia berkata, aktiviti Gunung Agung masih kekal tinggi tetapi stabil.

“Terdapat kurang daripada 200 gegaran antara waktu tengah malam dan 6 pagi hari ini. Ia sedikit di bawah tahap aktiviti seismik yang dipantau sejak Rabu dan Khamis lalu,” katanya.

Gunung Agung yang terletak kira-kira 75 kilometer dari hab pelancongan Kuta, mula bergegar sejak Ogos lalu dan dikhuatiri meletus kali pertama sejak 1963.

Ia mencetuskan kemungkinan amaran tahap tertinggi dalam tempoh lapan hari lalu.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Letusan Gunung Agung semakin hampir, 75,000 penduduk pindah

GLOBAL 27 SEPT: Kenderaan dipenuhi makanan, topeng muka dan tilam dihantar untuk membantu lebih 75,000 penduduk yang dipindahkan, bimbang letusan gunung berapi di Bali.

Gunung Agung, terletak 75 kilometer dari hab pelancongan Kuta, bergolak sejak Ogos lalu, mengancam untuk meletus buat kali pertama sejak 1963, sekaligus memberi tamparan hebat terhadap industri pelancongan Indonesia.

Gegaran kerap menunjukkan magma cair masih naik ke permukaan proses letusan memasuki ‘fasa kritikal,’ kata agensi pencegahan bencana nasional, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Ia berkata, jumlah penduduk yang berpindah meningkat berikutan kebimbangan gunung berapi itu bakal meletus.

“Agensi pencegahan bencana tempatan melaporkan, sehingga jam 12 tengah hari semalam, angka penduduk yang berpindah mencecah 75,673 orang di 377 pusat di sembilan daerah. Jumlahnya dijangka meningkat,” kata jurucakapnya, Sutopo Purwo Nugroho.

Gunung AGung3Kira-kira 62,000 penduduk tinggal dalam zon bahaya sebelum berpindah, namun penduduk di luar kawasan itu turut mengambil langkah sama.

Pusat Gunung Berapi dan Pencegahan Bahaya Geologi (PVMBG) berkata, ada peningkatan dalam gegaran dengan 564 aktiviti direkodkan kelmarin.

Bercakap di daerah Klungkung, Presiden Joko Widodo (Jokowi) memaklumkan penduduk, kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi mengurangkan kerugian ekonomi ketika perpindahan.

“Bukan mudah menguruskan letusan gunung berapi kerana tiada kepastian bila ia akan berlaku atau adakah ia benar-benar berlaku?

“Saya meminta penduduk berhampiran Gunung Agung supaya mendengar arahan pegawai, gabenor dan datuk bandar, supaya kami dapat meminimumkan impak letusan gunung berapi ini,” katanya.

Agensi bencana nasional Indonesia menghantar 640,000 topeng muka, 12,500 tilam, 8,400 selimut dan 50 khemah. Kerajaan pusat memiliki dana bantuan berjumlah hampir AS$150 juta (RM630.98 juta) untuk menangani bencana alam.

PVMBG berkata, letusan Gunung Agung pasti berlaku susulan petunjuk gegaran dan asap keluar daripada kawah selain peningkatan aktiviti seismik.

“Ada potensi tinggi berlaku letusan dan ia tidak menunjukkan tanda reda,” kata Kasbani dari pos pemantau Gunung Agung di perkampungan Rendang di sini, dipetik kompas.com.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Bimbang letusan Gunung Agung penduduk dipindah meningkat 50,000

DENPASAR, Bali 26 SEPT: Jumlah penduduk yang meninggalkan rumah mereka berikutan kebimbangan Gunung Agung di Bali meletus meningkat kepada hampir 50,000 orang.

Gunung berapi yang terletak kira-kira 75 kilometer dari hab pelancongan Kuta itu telah mengeluarkan bunyi berderum sejak Ogos lalu, dikhuatiri meletus buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Sementara itu, beberapa negara termasuk Australia, New Zealand, Singapura, Amerika Syarikat dan Britain mengeluarkan notis amaran semalam supaya menjauhi pusat tumpuan pelancong antarabangsa itu.

Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) menyatakan seramai 48,540 orang sudah melarikan diri, walaupun angka sebenar dijangka terus meningkat kerana terdapat lebih 60,000 orang menetap di kawasan zon berbahaya itu.

Gunung Agung12“Masih terdapat penduduk yang enggan berpindah,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho pada sidang akhbar semalam.

“Alasan paling utama mereka ialah gunung berapi itu masih belum meletus. Keduanya, mereka enggan meninggalkan haiwan ternakan masing-masing.”

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran tahap tertinggi pada Jumaat lalu susulan peningkatan aktiviti vulkanik dan memberitahu orang ramai supaya berada sekurang-kurangnya 9 kilometer daripada kawah gunung berapi itu.

Mereka yang berpindah ditempatkan di kawasan penempatan sementara atau tinggal bersama saudara-mara masing-masing.

Sejumlah 2,000 ekor lembu juga dipindahkan daripada kawasan kawah gunung berapi itu.

Seorang lelaki, Nengah Satiya yang meninggalkan rumah bersama isterinya tiga hari lalu kembali ke zon berbahaya untuk menguruskan babi dan ayam peliharaannya.

“Ada banyak haiwan ternakan di kampung kami dan tiada sesiapa yang menguruskan binatang ini,” katanya.

Bagaimanapun lapangan terbang di kota Denpasar, Bali yang menerima berjuta-juta pelancong asing setiap tahun, dilaporkan tidak terjejas.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Lebih 35,000 dipindah Gunung Agung bakal meletus bila-bila masa

KLUNGKUNG 25 SEPT: Hampir 35,000 dipindahkan dari sebuah gunung berapi di pulau pelancongan terkenal Bali, Indonesia selepas ia didapati semakin aktif dan mungkin meletus tidak lama lagi.

Pihak berkuasa melaksanakan larangan zon lingkungan 12 kilometer dari sekitar kawah Gunung Agung, ketika aktiviti gunung berapi itu semakin meningkat semalam menyebabkan gegaran di timur destinasi pelancongan terkenal dunia itu, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai tenang ketika laporan palsu dan video tersebar dalam talian mengenai letusan gunung berapi terbabit.

“Analisis terbaru menunjukkan tenaga seismik Gunung Agung meningkat dan berpotensi untuk meletus.

Gunung Agung1“Bagaimanapun, tiada seorang pun dapat meramalkan bila sebenarnya letusan berlaku,” kata Pusat Gunung Berapi Nasional dalam satu kenyataan.

Penerbangan di lapangan terbang antarabangsa Bali beroperasi seperti biasa semalam, begitu juga kawasan pelancongan di tempat lain pulau itu.

Ribuan penduduk kampung ditempatkan di pusat perlindungan sementara termasuk dewan bandaraya dan gimnasium sekolah serta khemah di perkampungan sekitar gunung berapi itu. Pihak berkuasa menjangka angka itu bertambah.

“Cabaran terbesar ialah, kami tidak dapat meramalkan jumlah penduduk yang bakal berpindah. Jika jumlahnya melebihi keupayaan maksimum, kami meminta setiap dewan awam di daerah berkenaan disediakan untuk menjadi kem pemindahan,” kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana Tempatan, Putu Widiada di daerah ini.

Katanya, pusat berkenaan akan dibekalkan dengan makanan, air, selimut dan khemah.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional juga sudah menghantar makanan dan bekalan logistik ke kawasan itu sambil menggesa sumbangan orang awam.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Indonesia keluar amaran letusan gunung berapi di Bali

BALI, 23 SEPT: Indonesia mengeluarkan amaran tertinggi di Gunung Agung di Bali yang menjadi lokasi tumpuan pelancong ekoran kebimbangan ia boleh meletus, pada bila-bila masa.

Kira-kira 10,000 penduduk sudah dipindahkan dengan orang ramai diarahkan untuk berada sekurang-kurangnya sembilan kilometer dari Gunung Berapi Agung.

Gegaran turut dirasai dan terdapat tanda magma sudah naik ke permukaan.

Lebih 1,000 meninggal dunia semasa Gunung Agung memuntahkan laharnya, pada 1963.

Namun, Lapangan Terbang Denpasar, Bali masih lagi beroperasi seperti biasa ketika ini.

Gunung Agung yang berada pada ketinggian lebih 3,000 di atas paras laut, terletak di sebelah timur Bali.

Ia merupakan antara 130 gunung berapi aktif di Indonesia.