Categories
NASIONAL

Azmin yakin rakyat Kedah bijak buat pilihan

OLEH SABIRAH AZIZ

GURUN, 5 JAN: Rakyat Kedah boleh menikmati pelbagai program kebajikan seperti yang dinikmati rakyat Selangor menerusi Inisiati Peduli Rakyat (IPR) sekiranya Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil alih negeri jelapang padi itu.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau tidak berhasrat mengajar rakyat Kedah sebaliknya yakin mereka bijak membuat keputusan terbaik dalam pilihanraya akan datang.

“Saya yakin rakyat Kedah cukup matang menentukan masa depan mereka, maka saya kongsikan apa yang Selangor buat hari ini.

“Pelbagai manfaat diberikan Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor, jadi saya juga mahu rakyat Kedah turut mendapat manfaat sama seperti rakyat Selangor.

“Justeru itu, rakyat Kedah mesti memilih Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 kali ini,” katanya dalam siri Jelajah Keadilan Peduli Rakyat, di sini, pagi tadi.

Keadaan hujan dilokasi jelajah tidak mematahkan semangat Mohamed Azmin untuk terus menyantuni rakyat.

Dalam program itu, beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan mangsa kebakaran di kawasan itu.

Program Jelajah Keadilan Peduli Rakyat Kedah dan Perlis berlangsung dua hari bermula Jumaat hingga Sabtu.

Antara kawasan terlibat adalah Gurun, Sidam, Bukit Selambau, Lunas, Kulim, Kuala Kedah dan Kangar bagi mendekati rakyat melalui program minum pagi bersama anak muda, sukan rakyat dan sumbangan.