OLEH NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 2 FEB: Dakwaan segelintir pihak kononnya Dasar Pandang Ke Timur gagal bukan sahaja naif malah dilihat membelakangkan fakta sebenar demi menidakkan jasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membangunkan ekonomi negara.
Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, sedangkan Dasar Pandang Ke Timur yang digagaskan sejak 33 tahun lalu itu jelas banyak memberi faedah kepada negara.
“Itu pandangan tak betul kerana dasar pandang ke timur banyak memberi manfaat kepada Malaysia kerana dasar ini menjadi titik tolak kepada pembangunan sektor industri yang pesat dan kesannya hari ini sektor perindustrian menjadi penyumbang utama ekonomi Malaysia mengalahkan sektor pertanian dan sektor pembinaan.
“Hari ini penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sektor industri. Idea Tun Dr Mahathir itu membuahkan hasil lumayan hingga menjadikan Malaysia berstatus negara membangun.
“Sektor industri juga penyumbang guna tenaga kerana sebahagian besar rakyat Malaysia bekerja dalam sektor industri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.
Jelasnya, pelabur Jepun juga bukan sahaja membuka peluang pekerjaan malah mereka turut melengkapkan pekerja tempatan dengan pelbagai latihan yang disediakan sama ada dalam dan luar negara.
Katanya, selain memberi latihan, pelabur Jepun juga membuka pusat latihan mereka di Malaysia dan menjalin kerjasama dengan pusat latihan perindustrian Malaysia.
“Oleh kerana industri kita beroreintasikan eksport bermakna sektor industri kita mengeluarkan barang ke luar negara dan hasilnya industri kita menjana pendapatan pertukaran mata wang asing utama bagi negara kita selain industri pelancongan,” katanya lagi.
Katanya lagi, pembangunan industri yang pesat akibat kesan dasar pandang ke timur juga mendorong kepada pembangunan infrastruktur lebih pesat seperti pelabuhan, rangkaian jalan raya seperti lebuh raya yang semakin meluas dan perkembangan sektor pengangkutan.
“Akibat pembangunan perindustrian, maka kita lihat kesan sampingan pembangunan industri di Malaysia iaitu membawa kepada banyak bandar-bandar baru dibuka,” katanya lagi.