Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Henti serang peribadi Azmin, fokus isu lain

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 FEB: Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei, menolak dakwaan Faekah Husin bahawa beliau membuat serangan peribadi kepada mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam isu tanah Ijok.

Sebaliknya, beliau mendakwa, Faekah dilihat menyerang peribadi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali secara bertubi-tubi.

Beliau berkata, kenyataan Faekah yang juga Pegawai Khas Abdul Khalid itu tidak berasas dan fitnah semata.

“Kenyataan saya bukan menyerang peribadi. Kalau pasal serang peribadi, Faekah lebih teruk serang peribadi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Nak jawab apa?

“Saya tidak pernah ‘twit’ mengutuk Abdul Khalid. Bahka,n saya memuji sebahagian tindakannya sebelum ini tetapi adakala tindakan merugikan Kerajaan Negeri, maka sebab itu saya menentangnya,” katanya kepada SelangorKini.

Shuhaimi berkata, beliau mengambil pendirian untuk menjawab isu tanah Ijok itu kerana tindakan mantan Menteri Besar itu dilihat merugikan Kerajaan Negeri.

“Walaupun ketika dulu saya angkat dan menyokongnya tetapi bila beliau bertindak merugikan Kerajaan Negeri secara keseluruhannya, maka perlu nyatakan pendirian saya,” katanya.

Beliau mahu Faekah dan Abdul Khalid berhenti menjatuhkan Kerajaan Negeri serta tidak menjadi ejen Barisan Nasional (BN).

“Saya bertindak berasaskan fakta. Pada saya zaman beliau sudah berlalu, maka usah dipergunakan BN dan jaga kesihatan diri. Itu sahaja,” katanya.

Shuhaimi juga mahu isu terbabit tidak diperbesarkan lagi oleh semua pihak dan memberi fokus pada perkara lain. Kita sudah serahkan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka tunggu sahaja,” katanya.

Baru-baru ini, Faekah dalam kenyataan mendakwa, Shuhaimi tidak menjawab soalan pokok dan lebih membuat serangan peribadi kepada Abdul Khalid.

Sebelum ini, isu Ijok menjadi panas selepas Abdul Khalid melalui wawancara yang disiarkan sebuah akhbar tempatan mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri memulangkan tanah Ijok yang dirampas sebelum kawasan itu dijual kepada pihak lain.

Kerajaan Negeri pula berjaya menyelesaikan isu tanah itu apabila Kerajaan Negeri memberi pampasan RM180,000 dan rumah bernilai sekurang-kurangnya RM400,000.