Categories
PBT SELANGOR

Pupuk kerjasama penduduk, MPSJ adakan kempen kesedaran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 FEB : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan melaksanakan pelbagai program membabitkan kawasan perumahan strata untuk memupuk kesedaran awam berkenaan kepentingan kerjasama dan penglibatan penduduk.

Timbalan Pengarah Korporat Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, program itu bertujuan menggalakan masyarakat membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dalam menyelesaikan isu berbangkit mengenai kebersihan, kesihatan dan keselamatan dihadapi penghuni rumah bertingkat.

Beliau berkata, walaupun tiada sebarang peruntukan khusus kepada perumahan strata, namun MPSJ sentiasa menyokong segala bentuk program dijalankan oleh JMB dan MC.

“MPSJ tidak mengeluarkan peruntukan bagi tujuan prasarana atau keselamatan kerana skop itu di bawah tanggungjawab pihak JMB dan MC kawasan terbabit.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan direkodkan atau diterima berhubung tindakan bahaya penghuni membuang sampah daripada tingkat atas sehingga membahayakan orang awam,” katanya.

Beliau berkata kepada Sinar Harian mengulas mengenai insiden kerusi terbang yang meragut nyawa seorang pelajar lelaki di PPR Sri Pantai, baru-baru ini.

Azfarizal berkata, pengurusan rumah strata boleh mengguna pakai Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi mengawal selia segala aktiviti yang dijalankan di dalam kawasan pangsapuri terbabit.

“Setiap kesalahan dilakukan oleh pemilik yang ingkar boleh dikenakan denda oleh pihak JMB atau MC seperti diluluskan dalam Undang-undang Kecil semasa Mesyuarat Agung Tahunan dijalankan,” katanya.

=EZY=