Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sambutan menggalakkan, peruntukan tambahan KISS diteliti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan untuk menambah peruntukan bagi program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) selepas sambutan diterima menggalakkan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau sudah berbincang perkara itu bersama Pegawai Kewangan Negeri.

Katanya, wujud keperluan menambah peruntukan untuk penerima menerima manfaat itu dengan lebih meluas lagi.

“Program KISS mendapat sambutan gemuruh rakyat. Pada asalnya, kita memilih 30,000 golongan wanita dengan peruntukan sebanyak RM72 juta.

“Namun, wujud keperluan untuk menambah peruntukan dan penerima. Jadi kita sedang menelitinya.

“Sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat dan proaktif serta responsif kepada aspirasi rakyat, jadi saya melihat tambahan itu bukan satu masalah,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut terbuka memperluaskan program Skim Rawatan Jantung sekiranya terdapat permintaan.

“Ini program awal, perbincangan saya bersama pihak IJN melihat perkara ini dan menjadi tanggungjawab negeri menyumbang dalam program murni ini.

“Kita jangkakan 500-600 akan menerima manfaat ini yang sudah menunggu sekian lama untuk menerima rawatan.

“Dengan bantuan ini, saya berharap dapat mengurangkan tekanan dan bebanan kewangan dan sekiranya ada keperluan kita akan tambah,” katanya.

Terdahulu, dalam Belanjawan Selangor memperuntukkan RM72 juta bagi program itu dengan anggaran 30,000 ibu dijangka menerima manfaat KISS sebanyak RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Manakala, peruntukan sebanyak RM10 juta pula bagi program Skim Rawatan Jantung kepada 500 pesakit di Selangor.

=EZY=