Categories
SELANGOR SUKANKINI

Adventure Taekwando Club juara kejohanan Piala Datuk Bandar MBSA

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 MAC: Kumpulan Adventure Taekwando Club menjadi juara dengan merangkul 17 pingat emas di Kejohanan Taekwando Piala Datuk Bandar Shah Alam 2018, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat & Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, penganjuran kali keempat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu disertai 30 kelab taekwando dengan jumlah peserta seramai 500 orang.

“Tempat kedua dimenangi Hypermax Taekwando Club dengan 14 pingat emas manakala tempat ketiga dimenangi oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis dengan merangkul 12 pingat emas.

“Kejohanan ini sebagai platform mencungkil bakat-bakat baru di peringkat akar umbi dan secara tidak langsung dapat melahirkan atlet berkualiti dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, kejohanan itu juga merupakan kaedah yang paling berkesan dalam membentuk disiplin dan jati diri seseorang serta dapat memupuk semangat kesukanan dalam melahirkan individu yang sihat dan berkualiti.

Selain itu, ia dapat mempromosikan MBSA sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang prihatin dan mengambil berat tentang pembangunan sukan bagi golongan remaja.

Difahamkan, sebanyak lima kategori dipertandingkan pada tahun ini mengikut umur iaitu antaranya kategori A bagi peserta berumur 7 tahun hingga 8 tahun, kategori B umur 9 tahun sehingga 11 tahun dan kategori C bagi umur 12 tahun hingga 14 tahun.

Manakala bagi kategori D untuk berumur 15 hingga 17 tahun dan kategori terbuka (18 tahun ke atas).

=EZY+