OLEH HAFIZAN TAIB
KUALA LUMPUR, 5 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V mengingatkan semua pihak menggunakan media sosial sebaiknya dan tidak menyalahgunakan kemudahan itu bagi menyebarkan berita palsu atau fitnah.
Dalam titah perasmian sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini, baginda meminta rakyat dari pelbagai lapisan usia harus bekerjasama bagi menangani perkara itu ekoran media sosial dewasa ini mempunyai pengaruh besar membentuk kehidupan masyarakat.
“Pada masa ini media sosial amat berpengaruh membentuk nilai dan budaya sesuatu masyarakat.
“Semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan nilai baik masyarakat.
“Dalam hal ini, Beta amat menyokong cadangan menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial,” titahnya.
Cadangan penggubalan undang-undang mengekang penyebaran berita palsu itu dicadang kerajaan bagi menangani isu berkaitan dengan pembentangannya akan cuba dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini untuk dibahaskan.
Penggunaan media sosial secara meluas dan penyebaran berita palsu menjadi topik perbualan umum masa kini digunakan untuk kepentingan pihak tertentu termasuk politik.
Ia menjadi hangat dengan parti politik di negara ini menggunakan medium itu bagi menyebarkan maklumat dalam menghadapi pilihan raya umum ke 14 kali ini.