Categories
NASIONAL

Persempadanan semula hanya boleh diluluskan secara sembrono

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat diluluskan di Parlimen apabila proses bantahan di mahkamah oleh Kerajaan Selangor masih berjalan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Umno dan Barisan Nasional (BN) membawa dan meluluskan usul persempadanan baru ini secara sembrono.

“Saya tidak jelas apa yang akan berlaku pada persidangan parlimen kali ini kerana kalau mengikut prosedur persempadanan semula, prosesnya belum selesai di Selangor.

“Jadi, untuk meluluskan di Parlimen ini, kalau kerajaan ikut peraturan dan susunan betul tidak akan dapat dilakukan tetapi kerajaan mungkin mengambil jalan pintas dan melanggari prosedur sepatutnya dan meluluskan secara sembrono,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.

Beliau demikian kepada SelangorKini selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Majlis Parlimen Yang Ke-13 2018 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, selain membahaskan isu berkaitan persempadanan semula, persidangan kali ini juga bakal menjadi medan bagi rakyat menyaksikan pertembungan terakhir untuk Pakatan Harapan (Pakatan) dan Barisan Nasional (BN) membahaskan dasar masing-masing.

“Rakyat akan membuat pelbagai penilaian mana pihak yang paling sesuai untuk memimpin negara ke arah Malaysia yang lebih saksama dan makmur,” katanya lagi.