Categories
SELANGOR

Amy Search dulu pernah jadi juru kimpal, saran anak muda sertai IKTISASS

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 25 MAC: Lagenda rock tanah air, Amy Search memberi sokongan penuh Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisass Smart Selangor (IKTISASS) 2018.

Beliau berkata, pelaksanaan itu dilihat penting untuk kemajuan sesebuah negara.

“Pada masa kini, program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) melangkaui arus semasa, golongan belia berpeluang meningkatkan kemahiran melalui IKTISAS ini.

“Secara tidak langsung IKTISASS mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada SelangorKini selepas membuat persembahan di IKTISASS di Sunway Convention Center, di sini.

Mengulas lanjut, Amy berkata peluang itu harus diambil anak muda disamping melihat ia sebagai salah satu kerjaya.

“Saya juga pernah menceburi bidang pengimpal sebelum bergelar artis namun ketika itu tidak secanggih masa kini.

“Oleh itu, golongan belia harus datang sendiri ke IKTISASS melihat kemajuan yang dibawa Kerajaan Negeri melakui pusat-pusat pengajian yang lebih selesa, peralatan yang lebih canggih dan berteknologi tinggi,” katanya.

Selain Amy, selebriti tempatan lain yang bakal memeriahkan program antaranya Haqiem Rusly dan Wany Hasrita pada Ahad ini.