WASHINGTON 28 MAC: Sekutu Amerika Syarikat (AS) dan Britain di seluruh dunia mengusir sejumlah diplomat Rusia yang disyaki pengintip Rusia dalam tindak balas berhubung satu serangan agen saraf.
Sekurang-kurangnya 116 perisik Rusia yang didakwa menyamar sebagai pegawai diplomatik diarah keluar oleh 22 buah negara, menandakan kejayaan diplomatik untuk Britain.
Washington mendahului sekutu-sekutunya dengan mengarahkan pengusiran 60 pegawai diplomatik Rusia, tamparan baharu dalam hubungan Washington-Moscow kurang seminggu selepas Presiden Donald Trump mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya, Vladimir Putin kerana dipilih semula sebagai Presiden Rusia.
Beberapa pegawai AS berkata, seramai 48 ‘pegawai perisikan’ yang bekerja dengan misi diplomatik Rusia di AS diusir, bersama 12 pegawai Moscow di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York.
Mereka diberi tempoh sehingga 2 April depan untuk menutup konsulat tersebut dan keluar dari AS, namun kediaman konsul Rusia akan dibuka sehingga 25 April depan.
“Sebaik tarikh akhir berlalu, kesemua hartanah itu tidak lagi menikmati status ataupun perlin–dungan diplomatik,” kata pegawai Jabatan Negara AS.
Pengusiran itu adalah yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah Rusia atau Kesatuan Soviet. Sebelum ini, Presiden Barack Obama pernah menghalau 35 diplomat Rusia kerana didakwa mencampuri urusan pilihan raya AS.
Dalam pada itu, Kanada, Ukraine, Albania, Australia dan kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) mengikut langkah tersebut dengan pengusiran berskala kecil selepas Britain menggesa sekutunya bertindak balas berhubung perbuatan meracun bekas ejen talam dua muka, Sergei Skripal.
Ukraine mengusir 13 diplomat Rusia, Albania (2), Norway (2), Macedonia (2), manakala sekurang-kurangnya 16 negara EU turut bertindak mengusir diplomat Moscow.
Semalam, Australia pula bertindak mengusir dua diplomat Rusia.
Rusia menafikan mendalangi cubaan bunuh itu yang menyebabkan Skripal dan anak perempuannya tenat di hospital, manakala kejadian itu dipercayai serangan agen saraf pertama di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Malah, Kremlin mendakwa tuduhan Britain itu merupakan cubaan menggagalkan persediaan Rusia sebagai tuan rumah kejohanan Piala Dunia di Moscow pada Jun tahun ini.
Sementara itu, beberapa negara termasuk Britain dan Australia membayangkan akan memboikot Piala Dunia tahun ini.
SUMBER: AFP