Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Aiman tak gentar cabaran pelumba senior

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 MAC: Pendatang baharu, Muhammad Aiman Tahiruddin, 17, tidak gentar berdepan cabaran pelumba senior apabila bersaing dalam kategori CP150 pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018, musim ini.

Juara Wira KBS 2017 mewakili pasukan baharu, Petronas Sprinta Yamaha-CKJ akan beraksi dalam kelas perdana itu dalam perlumbaan pembuka tirai di Litar Tangkak, Johor, pada 31 Mac hingga 1 April ini.

Beliau akan bergandingan dengan naib juara CP150 2017, Ahmad Afif Amran dan seorang lagi pendatang baharu, Md Hafiz Azman dalam pasukan berkenaan.

“Saya gembira dan sangat teruja kerana dapat beraksi dalam kelas CP150 pada musim ini dan sesi pertama sangat penting kepada diri saya.

“Saya berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan memahami rentak pelumba senior. Mujurlah banyak latihan dan persediaan dilakukan sepanjang tempoh rehat bagi membantu saya untuk lebih memahami jentera,” katanya yang meraih enam podium termasuk tiga kemenangan pada musim lalu.

Perkara sama turut diakui seorang lagi pendatang baharu yang beralih dari kelas Wira KBS ke kelas CP150, Md Aiman Azman, 18.

Pelumba muda itu akan bergandingan dengan dua lagi pelumba rookie CP150, Azroy Hakeem Anuar dan Harith Farhan Baharin untuk Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing.

“Saya dan pasukan mempunyai cabaran sangat besar pada tahun ini kerana ketiadaan Mohd Zaqhwan Zaidi menyaksikan pasukan kami adalah barisan termuda di litar.

“Azroy dan Harith pernah beraksi dalam kelas CP115 manakala saya terus melangkah ke kelas CP150 dari kelas Wira. Pengalaman menjadi kekurangan namun saya percaya seluruh pasukan akan bekerja keras untuk membantu kami,” katanya.