Categories
SUKANKINI

FAM tangguh guna teknologi Video Bantuan Pengadil

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MAC: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) sekali lagi perlu ditangguhkan untuk satu jangka masa dan tidak akan digunakan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) dalam masa terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berkata, badan induk itu berhadapan kekangan dana kerana kos menggunakan VAR begitu besar dan mampu menelan belanja sehingga AS$8,000 (RM31,282) untuk satu perlawanan.

Bagaimanapun, Subkhiddin mengakui betapa perbelanjaan untuk mengoperasikan sistem terbabit juga mampu mencecah lebih RM24 juta dan disifatkan sebagai pelaburan tidak berbaloi sekiranya hanya digunakan untuk menilai kembali beberapa insiden sahaja sepanjang musim.

“Kalau di peringkat FAM, kita perlu membuat lebih banyak kajian dan tidak boleh semberono kepada membabitkan kewangan besar. Jadi, kita tidak akan menggunakan VAR dalam tempoh terdekat ini.

“Pandangan saya adalah lebih baik jika dana yang ada digunakan untuk kita meningkatkan kemahiran pengadil dan meningkatkan mutu pengadilan daripada kita melabur berpuluh-puluh juta hanya untuk menilai beberapa situasi sahaja.

“Namun saya melihat tidak mustahil VAR akan digunakan dalam tiga ke empat tahun akan datang kerana teknologi sebegini akan menjadi lebih murah selepas ini. Ia masih baharu ketika ini jadi sebab itulah kosnya begitu melambung tinggi,” katanya dipetik laporan Berita Harian Online.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersedia menggerakkan jawatankuasanya jika mendapat bantuan dana daripada pihak luar untuk menggunakan teknologi terbabit dalam kancah bola sepak tempatan.

“Kalau kita lihat di Korea Selatan, mereka mendapat bantuan dari pihak luar untuk penggunaan teknologi itu dan bukan sekadar mengharapkan dana dalaman. Begitu juga dengan China di mana mereka menggunakan pengadil dari luar untuk menguruskan VAR.

“Jika ada pihak luar yang mahu menyuntik dana, saya kira tidak ada masalah untuk kita menggunakan VAR. Kalau sekadar menggunakan belanjawan FAM, saya rasa itu agak membazir.

“Sebenarnya VAR ini lebih kompleks dan dikhuatiri menimbulkan lebih banyak kontroversi. Kita sanggup untuk berhadapan dengan kritikan kalau timbul isu yang saya boleh anggap hanya akan berlaku sekali daripada 1,000,” katanya.

Berdasarkan perancangan awal, badan induk bola sepak negara itu bercadang menggunakan VAR dalam kancah Liga M musim ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya tahun depan.