Categories
SELANGOR

Isu air: Azmin cabar Zaini masuk politik tanding PRU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mencabar Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Dato’ Dr Zaini Ujang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 14 jika berniat bermain politik dalam isu air di negeri itu.

Katanya, tindakan Zaini sebagai penjawat awam seharusnya menyampaikan fakta yang tepat bukan memutar belitkan dan bermain politik.

“Ketua KSU serang saya mengatakan rizab air kosong peratus dan tiada jaminan bekalan air di negeri ini.

“Kalau betul nak jadi ahli politik, letak jawatan dan bertanding dengan saya di Gombak atau Bukit Antarabangsa juga di mana-mana kawasan.

“Nak tengok siapa yang dihukum? Saya atau Kementerian,” katanya di Karnival Himpunan Rakyat, di Stadium Malawati, di sini.

Mohamed Azmin turut mempersoalkan Najib yang mempergunakan penjawat awam dalam isu air di Selangor.

Katanya, sebagai penjawat awam, Zaini tidak seharusnya tunduk dan perlu bersikap profesional serta berintegriti.

“Saya sebagai Menteri Besar, tidak pernah memperalatkan pegawai kerajaan. Kita bersyukur mendapat Pegawai Kerajaan yang berintegriti, profesional dan bermaruah serta melaksanakan tugas dengan cemerlang,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin pernah menyelar tindakan Zaini yang mendakwa margin bekalan air di Selangor di tahap kosong peratus.

Bagaimanapun, serangan itu dilakukan secara berterusan dan dilihat bermotifkan politik.

=EZY=