Categories
SELANGOR

Kempen Bebas Plastik dan Polistirena diperluas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri akan memperluaskan Kempen Bebas Plastik dan Polistirena menerusi pengurangan kegunaan botol dan straw plastik secara berperingkat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, ia adalah inisiatif terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar sekaligus memberikan kesan jangka panjang terhadap kebersihan dan kesihatan rakyat Selangor.

“Malahan terdapat kesedaran di kalangan masyarakat tentang pemeliharaan alam sekitar di mana rakyat kini lebih selesa membawa beg kitar semula atau beg sendiri untuk membeli belah.

“Tambahan, Malaysia merupakan antara 200 petandatangan Konferens Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang memberi komitmen memberhentikan pencemaran plastik.

“Ini selaras dengan prinsip ‘Fastabiqul Khairat’ yang diamalkan pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong-Kuala Kubu Bahru.

Bermula 1 Januari 2017, perniagaan di Selangor tidak dibenarkan untuk menyediakan beg plastik secara percuma dan diarahkan menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polistera di semua premis termasuk premis makanan dan pasar malam.

Kerajaan Negeri menggalakkan peniaga untuk menggunakan kutipan caj 20 sen bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Susulan kempen itu dilaksanakan, Kerajaan Negeri dimaklumkan sebanyak RM7.199 juta dikutip bagi tempoh sehingga Februari 2018.

=EZY=