OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 28 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal dakwaan UMNO Barisan Nasional (BN) terhadap Kerajaan Selangor yang cuma melengahkan pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.
ADN Bukit Antarabangsa itu kesal dengan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa berdolak dalih dalam isu itu malah menyalahkan Kerajaan Negeri.
“Dakwaan UMNO-BN ke atas Kerajaan Negeri yang sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan itu tidak benar sama sekali.
“Kita tidak pernah menghalang atau melengah-lengahkan pelaksanaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) dan projek LRA Langat 2 itu sebaliknya keputusan pembatalan itu sudah dibuat oleh Jemaah Menteri Kabinet pada 16 Januari 2008.
“Sebelum PRU12 pada 2008, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) ditawarkan kontrak secara rundingan terus selepas syarikat perunding yang dilantik Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)menyiapkan kerja reka bentuk kejuruteraan dan mengemukakan anggaran kos keseluruhan projek LRA Langat 2,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri, di sini hari ini.
Momahed Azmin berkata, Jemaah Menteri Kabinet juga memutuskan agar KDEB turut mengambil alih operasi dan penyelenggaraan bagi rawatan dan pembekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk LRA Langat 2 yang akan dibina.
Bagaimanapun katanya, beliau kesal apabila sebaik selesai PRU12 pada 2008 dimana BN kalah di Selangor, Jemaah Menteri Kabinet bertindak menukar keputusan itu.
“Melalui Mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet pada 23 Mei 2008 sekali lagi telah memutuskan agar pelaksanaan dan pembinaan serta operasi dan penyelenggaraan projek LRA Langat 2 diuruskan PAAB.
“Mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet yang sama juga membuat keputusan bahawa keputusan ydibuat pada 16 Januari 2008 terbatal dengan sendirinya,” katanya.
=EZY=