BEIJING 28 MAC: China berkata hari ini pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berikrar untuk menghentikan program nuklear di semenanjung itu ketika pertemuan bersejarah di Beijing bersama Presiden Xi Jinping.
China turut berikrar untuk mengukuhkan lagi persahabatan dengan negara yang terasing itu.
Pertemuan yang mengakhiri pelbagai spekulasi itu menyaksikan China dan Korea Utara mengesahkan bahawa Kim berkunjung ke Beijing dan bertemu dengan Jinping, aktiviti yang disifatkan agensi berita rasmi Xinhua sebagai kunjungan tidak rasmi bermula Ahad hingga hari ini.
Kunjungan luar itu adalah yang pertama buat Kim sejak memimpin pada 2011. Penganalisis percaya ia satu bentuk persediaan menjelang sidang kemuncak dengan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Agensi berita Korea Utara KCNA bagaimanapun tidak menyebut sebarang ikrar untuk menghentikan program nuklear mahupun pertemuan dengan AS.
SUMBER: REUTERS