Categories
SASTERA

Marlina, Dalam Renungan Ke Luar Babak

Oleh Azrin Fauzi

AKU keluar dari panggung dengan fikirasa yang lapang. Selapang hamparan Sumba. Tetapi di tengah-tengah kelapangan itu muncul pula seorang perempuan berkuda yang membawa kepala laki-laki yang dipenggalnya.

Kita baru sahaja disuguhkan Marlina Si Pembunuh dalam Empat Babak oleh Mouly Surya, dikatakan “Satay Western” kerana yang ini merupakan air tangan wanita Indonesia, persis Tampopo (1985) bikinan Juzo Itami yang dipanggilnya “Ramen Western”. Barangkali supaya selera lebih membumi? Di tangan Mouly Surya, Marlina diperlihat sebagai suatu usaha pembebasan wanita daripada simpulan berselirat Spaghetti Western atau apa-apa genre Western yang sekian lama mengikat mereka. Meskipun masih berlegar-legar di sekitar samseng dan rompakan dan balas dendam, Marlina bolehlah dikatakan cubaan berani Mouly Surya mengambil (atau merampas?) genre yang sekian lama dimainkan oleh laki-laki – untuk tontonan laki-laki – lalu melenturnya kembali supaya naratif dapat dilepas keluar daripada konvensi genre; Marlina (Marsha Timothy) dilepaskan dengan harapan dia dapat mengatur gerak dan rentak kisahnya sendiri.

Tetapi filem dalam apa jua keadaan pun, jikalau digarap bagus, bukankah genre dan cita rasa itu akan tercerai juga akhirnya?

Dengan Marlina, benarlah Mouly Surya telah meletakkan sinema di tempatnya yang wajar. Syot-syot di dalam rumah dengan  ruang dapur – iaitu ruang yang dibina oleh patriarki untuk perempuan – dieksploitasi oleh Mouly Surya sebaik-baiknya. Ruang dapur bukan sahaja menjadi ruang kerja, malah ruang rahsia seorang wanita. Di sinilah Marlina pantas mengatur gerak untuk meracun mati lelaki-lelaki ‘lapar’ di ruang tamu dengan sup ayamnya. Dan syot sederhana (medium shot) pada Marlina sewaktu dia keluar ke ruang tamu berlatar belakang bunyi marak api dari dapur menjadi bunyi diegetik yang memendamkan semacam kerahsiaan dan kemarahan yang hangat ditahan-tahan.

Benarkah Marlina pembunuh? Untuk itu, kita simpan dahulu tukul moral di dalam laci. Cukuplah bayangan Markus (Egy Fedly) tak berkepala yang mengikut Marlina itu:

  1. Sebagai dosa masa lalu yang menghantuinya. Walaupun dia sendiri menegaskan yang dia tidak berbuat dosa. Dia tidak rasa bersalah. Langsung. Barangkali suatu tindak protes terhadap agama: Apakah keadilan?
  2. Kerana mayatnya belum diuruskan, sosok grotes Markus itu membeban sebagai urusan adat dan budaya yang tidak selesai.

Gerak kerja kamera oleh sinematografer Yunus Pasolang yang menangkap syot-syot jauh (long shot) advencer berkuda – yang sengaja dilesukan – di landskap lapang Sumba juga sudah cukup untuk memerikan betapa terasingnya hidup wanita-wanita ini. Betapa kontangnya kasih sayang buat mereka. Dan lambakan tangkapan lama (long take) pula seolah meregang waktu sehabis mungkin agar keadilan yang diburu Marlina terasa jerih pedihnya. Barangkali keadilan yang dicarinya tidak ada. Kerana melihatkan polis-polis lelaki di balai yang acuh tak acuh itu, keadilan tidak akan pernah ada, melantun-lantun di atas ketikan mesin taip dan meja pingpong sahaja.

Syot jauh dan tangkapan lama yang pegun ini – selain menarik kita ke dalamnya – juga menidakkan objektifikasi wanita. Tidak cukup di luar, apa-apa yang di dalam pun seperti adegan-adegan ranjang turut dikendurkan. Laura Mulvey dalam eseinya “Visual Pleasure and Narrative Cinema” ada mengatakan, “… filem telah bergantung pada mekanisme aktif/pasif voyeuristik. Wanita, di mana imejnya terus-menerus dicuri dan digunapakai untuk tujuan ini, tidak dapat melihat keruntuhan bentuk filem tradisional ini dengan apa-apa yang lebih dahsyat daripada penyesalan sentimental.

Dalam Marlina, renungan laki-laki (“male gaze”) dijulingkan sekali gus memberi kanta baharu untuk kita lihat sisi-sisi wanita yang lain kalaupun sempit. Ia berbalik kepada apa yang kukatakan pada awal tulisan ini: “Tetapi di tengah-tengah kelapangan itu muncul pula seorang perempuan berkuda” yang secara tidak langsung melarikan kecenderungan untuk memakukan pandangan pada sosok wanita sahaja atau apa yang disebutkan Laura Mulvey sebagai sosok yang “to-be-looked-at-ness”, justeru menidakkan objektifikasi wanita; dan “yang membawa kepala laki-laki yang dipenggalnya” itu pula langsung mematikan identifikasi penonton – lelaki khususnya – dengan mana-mana watak lelaki yang ‘memiliki’ wanita. Dalam erti kata lain, dek kerana rasa terancam, ghairah dicantas mati!

Marlina Si Pembunuh dalam Empat Babak ialah filem pertama sutradara wanita dari Indonesia yang kutonton. Ia langsung meluncurkan ingatanku terus kepada filem-filem Chantal Akerman yang pekat feminisme: Je Tu Il Elle (1974) dan Jeanne Dielman, 23, quai du Commerce, 1080 Bruxelles (1975) antaranya. Kerana kita diperkenalkan sosok Marlina ini pada babak pertama sewaktu dia sudah tidak terikat lagi dengan lelaki – suaminya telah mati, mayatnya diduduk-tinggungkan di sudut ruang tamu. Kita pun tidak pasti akan apa-apa yang berlaku sebelum itu, apa-apa yang terjadi sebelum filem ini mula berputar. Dan babak-babak lanjut menggerakkan Marlina untuk lari dari lelaki. Marlina diatur seiring – sebelum terpisah – dengan Novi (Dea Panendra) yang sedang sarat mengandung, perempuan yang mahu pulang kepada lelaki (itupun sebelum dia ditendang keluar daripada hidup suaminya sejurus selepas mereka berjumpa). Kedua-dua watak ini dipertemukan sekali lagi pada babak akhir, babak yang membentuk akan apa yang dikatakan “perempuan” lantas memulangkan kembali kekuatan kepada mereka – dengan kelahiran.

Cuma aku tertanya-tanya apabila Mouly Surya membingkaikan filemnya itu dalam empat babak: “Perampokan Setengah Jam Lagi”, “Perjalanan Juang Perempuan”, “Pengakuan Dosa” dan “Tangisan Bayi”. Aku teringat akan pembukaan filem Perempuan, Isteri dan Jalang (1993) bikinan U-Wei Haji Saari iaitu gambar Zaleha terjatuh pecah dan fotonya terkeluar dari bingkai. Zaleha (Sofia Jane) kemudiannya dilepas bebas sebebas-bebasnya. Dan dalam empat babak filem Marlina pula kita tahu sedari awal babak pertama lagi, sememangnya Marlina mahu dan harus bebas daripada sebarang struktur yang mengongkong dirinya. Atau seperti Novi yang mahu melahirkan anak pada babak terakhir itu, asalkan di tangan wanita, dia merelakan sahaja. Mungkin ia suatu kemenangan. Sehingga mereka berdua pun tertawa.

*Azrin Fauzi, pemenang utama Hadiah Sastera Selangor (cerpen) selain menulis esei, dia juga fiksyenis dua kumpulan cerpen: Urban (Buku Fixi, 2015) dan Metaskandal (Roman Buku, 2018).