Categories
EKONOMI SELANGOR

Mesra pelabur, sedia prasarana kondusif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Menerusi konsep mesra pelabur, Kerajaan Negeri komited menyediakan prasarana pelaburan yang kondusif kepada pelabur untuk terus dikembangkan atau menjana pelaburan baru di Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, pelabur di negeri itu juga sentiasa disantuni melalui program lawatan kilang yang dilaksanakan oleh Invest Selangor.

Katanya, obejektif lawatan terbabit bertujuan mewujudkan hubungan erat antara Kerajaan Negeri dengan pelabur yang beroperasi di Selangor.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga dapat meninjau permasalahan yang dihadapi oleh pelabur dan membantu untuk menyelesaikannya.

“Kerajaan Negeri turut menyediakan kawasan perindustrian yang lebih selesa, selamat dan lebih terurus melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mewujudkan Industrial Park Management Committee (IPMC) sebelum ini, bagi membincangkan dan menyelesaikan isu penyelenggaraan kawasan perindustrian yang dihadapi pelabur,” katanya menjawab pertanyaan Loh Chee Heng-Telok Datok.

Pada masa sama, Chang Khim berkata Kerajaan Negeri giat melaksanakan cadangan pembangunan kawasan perindustrian berkonsepkan ‘Managed Industrial Park’ (MIP) sebagai langkah penjenamaan semula kawasan perindustrian baru yang dibangunkan bagi meningkatkan prestasi pelaburan.

Terdahulu, Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) diberi tanggungjawab untuk mempromosi Pulau Indah Industrial Park (PIIP) yang berkonsepkan MIP, ‘Gated dan Guarded’, berkonsepkan hijau serta lengkap dengan laluan berbasikal sepanjang 20 kilometer.

PIIP meliputi keluasan 3,500 ekar dan dijangka menjana nilai pelaburan RM15 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Fasa 3 sedang dibangunkan meliputi 800 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion.

MIP diwujudkan bagi menangani masalah penyelenggaraan kawasan perindustrian, menyediakan lokasi pelaburan dengan kemudahan infra yang lebih baik, mempromosikan pembangunan kawasan perindustrian luar bandar dan mengurangkan beban dan tanggungan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

=EZY=