Categories
GLOBAL

PBB lancar rayuan dana AS$1 bilion untuk Rohingya

GENEVA 17 MAC: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam melancarkan rayuan dana untuk hampir AS$1 bilion (RM3.91 bilion) bagi mengurus pelarian Rohingya di Bangladesh, sambil menekankan usaha kepulangan selamat ke Myanmar.

Agensi pelarian PBB (UNHCR) itu memohon hampir AS$951 juta (RM3.72 bilion) untuk sepanjang tahun bagi menyediakan keperluan asas terhadap hampir sejuta pelarian Islam Rohingya di Bangladesh, termasuk 700,000 yang menyeberangi sempadan sejak Ogos lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Ketua agensi itu, Filippo Grandi memberitahu media, kebimbangan sekarang adalah menggerakkan bantuan menyelamat nyawa kepada pelarian, terutama ketika musim monsun semakin dekat dan puluhan ribu tinggal di kawasan terdedah banjir dan tanah runtuh.

Grandi sekali lagi mengakui, ia mungkin mengambil masa amat panjang sebelum mana-mana pelarian dapat pulang ke Rakhine, Myanmar, berikutan ketiadaan bukti bahawa keselamatan mereka terjamin jika kembali.

Etnik minoriti itu lari selepas Myanmar melancarkan tindakan keras kejam ke atas pemberontak enam bulan lalu yang digelar PBB ‘pembersihan etnik.’

Namun Grandi menegaskan, walaupun dengan keadaan itu, beliau tidak akan berhenti memperjuangkan kepulangan pelarian yang berhasrat pulang ke tanah air.

Bangladesh dan Myanmar bersetuju November lalu untuk memulakan kepulangan secara sukarela Rohingya ke Myanmar, di mana minoriti tertindas itu hidup selama bergenerasi.

SUMBER: AFP