Oleh Shahril Anuar
SEMINGGU sebelum bulan di langit mula mencair seperti ais; sebaik jatuh ke alam tidur, tiba-tiba Pa’ie terjaga dalam tubuh dan fikiran seorang pencopet yang bergelandangan di tengah kota. Dan selain namanya sendiri, segala ingatan tentang dirinya sebelum terlena, seolah-olah hanya mimpi kabur dan jauh. Seperti tak benar sama sekali. Atau berlaku kepada seseorang yang bukan dirinya.
Sungguh. Pa’ie bukan seorang penyeluk saku. Paling tidak, itu masih diingatinya. Namun dia tidak bermimpi. Dunia yang dia terjebak adalah dunia sebenar. Seperti kelaparan tak pernah belas pada perut yang tidak diisi. Terik siang juga pasti mengerontangkan tekak. Sementara kedinginan awal subuh kaki lima di tengah bandar raya Kuala Lumpur yang pongah, tetap menuntut kehangatan sehelai gebar. Pendeknya, mimpi atau realiti, buat Pa’ie, hidup harus terus.
Dalam kekeliruan, nalurinya mendorong Pa’ie mencopet.
Setiap kali tidur, Pa’ie berharap dirinya kembali seperti sediakala apabila terjaga. Tapi itu tidak terjadi. Sebaliknya, dia bermimpi melihat bulan mencair. Seluruh dunia gempar dan bingung. Segala urusan kehidupan tergendala. Hanya dia yang tahu makna petanda itu. Anehnya, jasadnya tak lagi wujud. Hanya sorot matanya seperti lensa kamera menyaksikan segalanya.
Dalam kacau tidurnya, Pa’ie selalu berharap segera tersedar. Akhir mimpi itu tak kurang menakutkan daripada realiti yang didepaninya. Lebih membingungkan, tiga hari lalu, mimpi yang tak pernah dimengerti itu benar-benar terjadi. Pertama kali Pa’ie melihat kecairan bulan dan kekecohan orang ramai; dia tambah gayat, segala-galanya bagaikan dejavu.
Selama terpaksa mencopet, mimpi dan dejavu terus berulang memomoknya.
“Bulan mencair… Itu petanda akhir dunia.”
“Mana kau tahu?” soal Pa’ie.
“Dah dua-tiga hari… Idea cerita tu terus mengacau fikiran aku,” jawabku, gemas.
“Sama macam mimpi aku.”
Aku tak tahu. Idea tentang bulan mencair memang mengganggu fikiranku. Tapi aku sendiri tak pernah menyedari ia benar-benar terjadi sehinggalah dimaklumkan lelaki serabai di sebelahku.
Tatapannya membuatkan aku semakin gelisah.
Cuba melarikan pandang, aku merenung bulan yang semakin malap dan berlekuk-lekuk di langit gelap. Retak sana-sini. Sementara lelehan jasadnya terjuntai membeku pada garis lengkung bawahnya.
Sudah tentu, apa yang aku lihat benar-benar menggangguku. Persekitaranku juga sama seperti gambaran cerita yang menghantuiku.
Sekeliling perhentian bas Bangkok Bank, orang ramai, baik yang berdiri, duduk, berjalan atau memandu, semuanya tercengang memanggungkan kepala. Tiada sesiapa peduli pelanggaran atau kemalangan yang terjadi. Mereka lebih bingung melihat fenomena ganjil yang masih mengamamkan saintis dan pengkaji.
Alangkah baiknya kalau aku tak perlu menyedari semua ini.
Semuanya gara-gara novel Ghost, hingga aku terlepas bas terakhir untuk pulang. Jika tidak, aku tak perlu bertemu dengan Pa’ie dan berdepan semua ini. Mungkin kerana hairan melihat aku seperti dirinya — langsung tidak mendongak — Pa’ie datang menegurku yang sedang leka membaca.
“Memang, ada sebab aku tegur kau.”
Sigap aku merenung Pa’ie. Tapi tampangnya tetap bersahaja, meneruskan:
“Kau tak perlu rungsing sebab ketinggalan bas terakhir. Sesuatu akan berlaku… Kau terselamat.”
Mahu saja aku bangun meninggalkan pencopet itu. Atau menyuruhnya diam sahaja. Tapi itu tidak aku lakukan.
“Makin aku tengok kau, aku rasa, aku macam tengok diri aku. Lagipun, rasanya, sebelum ini, aku pun suka membaca.”
Aku makin terkejut. Memang aku sendiri masih bingung. Lebih seminggu lalu, tiba-tiba aku terjaga dari tidur dengan novel Cesar Aira di tangan. Tiada lagi yang aku ingat tentang diriku sebelum itu. Yang pasti, aku bukanlah seorang yang suka menelaah.
Kerana bingung, aku mula membaca novel yang terus aku ulang baca kerana tak pernah memahami realiti yang aku hadapi.
Entah dari mana datangnya, tiga hari lalu, aku mula didesak ilham, layaknya seorang penulis cereka.
“Ketika itulah bulan benar-benar mencair.”
Aku semakin terdorong percaya bahawa lelaki yang mungkin dipandang sampah masyarakat ini benar-benar dapat membaca fikiranku.
“Tapi, kau bukan penulis fiksyen, kan?” Pa’ie sempat mengekek sebelum bangkit berlalu tanpa menagih jawapan. Aku hanya mampu tercengang melihat sosoknya menjauh.
Memang. Perbualan itu lebih menakutkan daripada kecairan bulan atau akhir dunia sekalipun. Bahkan, aku mungkin lebih bingung daripada orang ramai yang melangut takjub ke arah langit.
Malam itu, aku tertidur di pondok hentian bas.
Setelah tiga minggu mencair, bulan akhirnya lenyap dari langit. Bersungguh-sungguh aku cuba menerangkan kepada orang ramai yang berpapasan bahawa itu petanda akhir dunia, dan aku harus mencari Pa’ie. Namun tiada siapa mengendahkan aku — yang sepertinya kurang siuman. Akhirnya aku ditangkap kerana dituduh sengaja menimbulkan ketakutan orang ramai.
Nyaring hon bas Rapid KL dari Jalan Silang awal pagi itu menyedarkan aku. Seketika, aku terkebil mengingatkan mimpiku. Tapi perutku yang berkeruk mengerah aku bangun.
Serentak itu aku tersedar, buku yang aku pegang sejak semalam tiada lagi di tangan. Terlintas wajah Pa’ie; aku terdorong untuk memeriksa poket belakang seluarku.
Ternyata dompetku juga lesap.
Tanpa sesen wang di tengah kota, tentu tiada apa yang dapat aku lakukan. Awalnya aku bercadang untuk menapak pulang sahaja. Tapi ketika itulah aku mula tersedar: selain pertemuan dengan Pa’ie, dan idea cerita yang belum aku tulis sedang benar-benar terjadi di dunia realiti, tiada apa-apa yang aku ingat tentang diriku lagi.
Aku cuba bertanya tentang Pa’ie kepada sesiapa sahaja yang berselisih denganku, namun tiada siapa peduli untuk menganjakkan pandangan dari langit — meskipun pada siang hari. Dan jika ada beberapa gelandangan yang mahu menjawab, tiada sesiapa pernah melihat atau mengenali Pa’ie. Bahkan ada yang berkata bahawa lelaki yang aku gambarkan itu lebih menyerupai diriku.
Aku mula mencurigai kewujudan Pa’ie. Semalaman, mungkin aku hanya berhalusinasi. Tapi ketika melintasi kedai menjual majalah di sekitar Jalan Petaling, aku terbaca berita muka depan beberapa akhbar tentang semua bas yang terbabas ke gaung hingga mengorbankan semua penumpangnya, bahana kecuaian pemandu yang lebih sibuk mendongak. Serta-merta aku teringat apa yang diramal Pa’ie. Mungkin dia benar-benar wujud.
Melihatkan orang ramai yang semakin kalut, ingin saja aku khabarkan bahawa itulah petanda akhir dunia. Namun mengingatkan akhir mimpiku, aku jadi takut. Jika tertangkap, mustahil aku dapat menjejaki Pa’ie lagi.
Di celah kegemparan manusia melihat bulan yang semakin kecut, aku terus merayau mencari Pa’ie.
Sementara itu, untuk meneruskan hidup, aku terpaksa melupakan idea untuk menulis cerita kecairan bulan dan terpaksa mencopet. Tapi aku tak peduli. Masa semakin suntuk. Aku mesti mencari Pa’ie sebelum dunia benar-benar berakhir. Kerana aku percaya, dia tidak saja mencopet dompetku, tapi juga hidupku.