Categories
SELANGOR

Penerima akui KISS banyak membantu

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 30 MAC: Penerima skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) menyifatkan bantuan bernilai RM2,400 daripada Kerajaan Negeri sangat bermakna kepada mereka sekeluarga.

Suri rumah, Gokila Arumugam, 36, berkata, bertambah bermakna apabila beliau sekeluarga tidak pernah menerima sebarang bantuan sebelum ini.

“Pada zaman sekarang harga barang semuanya naik menyebabkan ramai menanggung kesukaran hidup lebih-lebih lagi golongan kurang berada seperti kami tetapi dengan adanya Kad KISS RM200 sebulan membantu ringankan beban keluarga.

“Dengan bantuan ini saya boleh beli keperluan anak seperti lampin, susu formula, saya harap Kerajaan Negeri ini kekal supaya bantuan seperti ini diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Penyerahan Kad KISS Kepada Penerima di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, pada 28 Mac lalu.

Lily Suraini Abd Latif, 52, berkata beliau amat menghargai usaha keras Pegawai Penyelaras DUN Kota Damansara, Mohd Radzlan Jalaluddin bagi memastikan bantuan ini sampai kepada golongan memerlukan.

“Syukur kepada tuhan dan terima kasih banyak kepada penyelaras DUN, juga Kerajaan Negeri kerana membantu meringankan golongan seperti kami di mana bagi kami bantuan seperti ini amat bermakna.

“Dengan adanya bantuan seperti ini, saya dapat salurkan perbelanjaan untuk hal lain seperti persekolahan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi suri rumah, Tabitah Sab pula berkata, langkah ini merupakan salah satu bukti Kerajaan Negeri yang ada sentiasa peduli terhadap isu rakyat.

“Kalau di Sabah dahulu memang susah nak merasa dapat bantuan kerajaan seperti ini tetapi saya bernasib baik kerana kini tinggal di Selangor dan dapat pula bantuan Kad KISS ini.

“Bantuan ini buat saya begitu gembira dan terharu,” katanya.

Terdahulu, pada program terbabit, Mohd Radzlan menyerahkan Kad KISS kepada 435 penerima menjadi jumlah keseluruhan setakat ini lebih 800 penerima.

Mohd Radzlan berkata sehingga kini pihak PKM Kota Damansara menerima lebih 2,000 permohonan dan dijangkan terus bertambah.