Categories
SUKANKINI

Penjenamaan semula FMLLP kepada MFL

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memutuskan akan melalui proses penjenamaan semula dikenali dengan nama Malaysia Football League (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya akan membuat pendaftaran yang perlu untuk tujuan itu.

“Perkara itu dijangka akan mengambil masa bag menguruskan segala perkara.

“Selain itu, semua 24 pasukan dalam MFL turut menyokong Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai pengerusinya.

“MFL dan FAM kini merupakan dua institusi yang tidak berkait, di mana Tunku Ismail sebulat suara dilantik sebagai Pengerusi MFL,” katanya menurut laporan Football Tribe.

Tunku Ismail turut bersetuju FMLLP ditukar nama kepada FML seperti diumumkan dalam Kongress Kedua FMLLP di Hotel Phoenix, Forest City, Johor, semalam.

“Sebagai presiden MFL, saya akan memberi tumpuan kepada menaiktaraf kualiti Liga Malaysia,” jelas Tunku Ismail

Tunku Ismail juga mencadangkan Datuk Wira Yusuf Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden FAM sehingga Kongres ke-64 FAM pada 14 Julai 2018.

Katanya, calon paling layak menerajui FAM selepas itu pula adalah Setiausaha Agung FAM, Dato Hamidin Mohd Amin yang telah sekian lama berkhidmat untuk bolasepak tanahair.

Pada masa sama, MFL mengumumkan keputusan mengenai rayuan 10 pasukan Liga Super dan Liga Perdana yang dihukum kerana gagal melengkapkan pendaftaran selepas tarikh akhir, 3 Februari lalu.

Empat pasukan Liga Super antaranya, Kelantan, Kuala Lumpur, PKNS dan Selangor didenda RM1.5 juta, manakala enam pasukan dari Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM didenda RM500,000.