Categories
SUKANKINI

Penjenamaan semula FMLLP kepada MFL

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memutuskan akan melalui proses penjenamaan semula dikenali dengan nama Malaysia Football League (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya akan membuat pendaftaran yang perlu untuk tujuan itu.

“Perkara itu dijangka akan mengambil masa bag menguruskan segala perkara.

“Selain itu, semua 24 pasukan dalam MFL turut menyokong Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai pengerusinya.

“MFL dan FAM kini merupakan dua institusi yang tidak berkait, di mana Tunku Ismail sebulat suara dilantik sebagai Pengerusi MFL,” katanya menurut laporan Football Tribe.

Tunku Ismail turut bersetuju FMLLP ditukar nama kepada FML seperti diumumkan dalam Kongress Kedua FMLLP di Hotel Phoenix, Forest City, Johor, semalam.

“Sebagai presiden MFL, saya akan memberi tumpuan kepada menaiktaraf kualiti Liga Malaysia,” jelas Tunku Ismail

Tunku Ismail juga mencadangkan Datuk Wira Yusuf Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden FAM sehingga Kongres ke-64 FAM pada 14 Julai 2018.

Katanya, calon paling layak menerajui FAM selepas itu pula adalah Setiausaha Agung FAM, Dato Hamidin Mohd Amin yang telah sekian lama berkhidmat untuk bolasepak tanahair.

Pada masa sama, MFL mengumumkan keputusan mengenai rayuan 10 pasukan Liga Super dan Liga Perdana yang dihukum kerana gagal melengkapkan pendaftaran selepas tarikh akhir, 3 Februari lalu.

Empat pasukan Liga Super antaranya, Kelantan, Kuala Lumpur, PKNS dan Selangor didenda RM1.5 juta, manakala enam pasukan dari Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM didenda RM500,000.

Categories
SUKANKINI

FMLLP: Keputusan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah, bukan individu

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 FEB: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menjelaskan semua keputusan hukuman dan rayuan dalam Liga Malaysia adalah keputusan bersama diputuskan Ahli Lembaga Pengarah FMLLP dan bukan keputusan individu.

Menerusi kenyataan dimuatnaik di Facebook semalam, badan pengurusan perjalanan bola sepak tempatan itu berkata, Ahli Lembaga Pengarah terdiri daripada perwakilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), wakil setiap pasukan serta wakil berkecuali.

“Sewaktu perjumpaan Kongress FMLLP 2017 yang berlangsung pada 14 Jun 2017 yang lepas, 24 wakil dari pasukan (1 setiap pasukan) telah memilih 3 wakil dari mereka untuk mewakili kesemua pasukan. 3 wakil ini dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah FMLLP.

“Selain wakil daripada pasukan, ada juga wakil dari FAM yang turut terlibat dalam menguruskan pasukan masing-masing.

“Jadi perwakilan dari pasukan-pasukan di dalam struktur FMLLP ini sangat kuat,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP berkata empat pasukan Liga Super berada dalam bahaya kerana bakal berhadapan hukuman pemotongan mata dan tidak dibenarkan membuat pertukaran pemain pada jendela perpundahan kedua kerana gagal melengkapkan beberapa dokumen mendaftarkan pasukan.

Categories
SUKANKINI

Pertembungan Perak-PKNS FC tanpa kehadiran penyokong

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 FEB: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memaklumkan perlawanan Liga Super 2018 antara Perak dan PKNS FC di Stadium TLDM Lumut minggu ini akan dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong.

Keadaan itu disebabkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebelum ini didenda kerana gagal mengawal keselamatan penyokong dalam pertembungan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia musim lalu ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh.

“Mengikut Keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM bertarikh 20 Disember 2017, untuk perlawanan menentang PKNS FC minggu ini, pasukan Perak akan beraksi tanpa penyokong,” katanya.

Bagaimanapun FMLLP dalam kenyataannya berkata, Stadium TLDM, Lumut telah diluluskan untuk bermain pada waktu malam.

“Pemeriksaan kali kedua dibuat pada 5 Februari lepas oleh Unit Pertandingan FMLLP.

“Tahap pencahayaan lampu limpah melepasi 1200 lux seperti ditetapkan,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Liga M jadi tarikan media Indonesia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 FEB: Liga Malaysia (Liga M) mendapat perhatian media negara jiran, Indonesia apabila sekumpulan wartawannya hadir membuat liputan.

Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dalam kenyataannya, melahirkan penghargaan kepada lapan wartawan Indonesia berkenaan.

Mereka mewakili media dari Goal, Metrotvnews, Bolanet, Kompas, Bolasport, Bola[dot]com, Bolalob dan Topskor hadir ke negara ini, bagi tujuan itu.

Laporan dibuat adalah untuk perlawanan Felcra FC menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Liga Perdana, Jumaat lalu dan Kuala Lumpur melawan Selangor (Liga Super), Ahad lalu.

“Satu pengalaman yang bagus untuk menikmati secara langsung Liga M di samping melihat aksi pemain Indonesia di sini,” kata Farabi Firdausy daripada Goal.

Categories
SUKANKINI

Final Piala FA 7 Julai, Unifi Piala Malaysia 3 November

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 FEB: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengumumkan perlawanan akhir Piala FA 2018 dilangsungkan pada 7 Julai.

Sementara, Unifi Piala Malaysia pula dijadualkan berlangsung pada 3 November.

Pengumuman itu dibuat menerusi status yang dimuatnaik di laman rasmi Facebool FMLLP.

Menerusi kenyataanya, jadual perlawanan akhir tertakluk kepada jadual semasa.

“Perlawanan akhir akan disiarkan secara langsung di semua saluran UnifiTV, Iflix, TV1, TV3,TVi dan TV9,” katanya.

Categories
SUKANKINI

TM taja Liga M, terbesar dalam sejarah sukan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 FEB: Perjanjian termeterai antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi menaja Liga Malaysia (Liga M) bernilai RM480 juta, adalah yang terbesar dalam sejarah sukan negara.

Ia membuktikan keyakinan TM terhadap kepimpinan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Hak penyiaran ini akan diagihkan kepada semua pasukan bertanding di dalam Liga Super dan Liga Perdana.

“Jumlah hak penyiaran ini akan meningkat pada setiap tahun dan akan menjadi hak penyiaran tertinggi yang tidak pernah sesebuah pasukan dalam negara miliki sebelum ini,” kata FAM dalam kenyataannya.

Semalam, TM menjalin kerjasama dengan FMLLP bagi menaja Liga M, yang membolehkan peminat bola sepak tanahair dapat menyaksikan perlawanan secara langsung liga bola sepak tempatan menerusi platform unifi.

Perjanjian itu menyaksikan unifi, jenama utama TM menjadi penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bagi Piala FA mulai tahun ini hingga 2025, membuktikan sokongan berterusan TM terhadap pembangunan bola sepak tempatan dan menaikkan mutu sukan di negara ini.

Melalui penajaan dimeterai, Liga Super kini dikenali ‘unifi Liga Super’ dan Piala Malaysia sebagai ‘unifi Piala Malaysia’.

Categories
SUKANKINI

TM-FMLLP jalin kerjasama, Unifi penaja utama Liga Super

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 FEB: Peminat bola sepak tanahair dapat menyaksikan perlawanan secara langsung Liga Malaysia (Liga M) dan Piala Malaysia menerusi unifi apabila Telekom Malaysia Berhad (TM) menjalin kerjasama dengan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Perjanjian itu menyaksikan unifi, jenama utama TM menjadi penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bagi Piala FA mulai tahun ini hingga 2025.

Ia sekali gus membuktikan sokongan berterusan TM terhadap pembangunan bola sepak tempatan dan menaikkan mutu sukan di negara ini.

Melalui penajaan dimeterai, Liga Super kini dikenali ‘unifi Liga Super’ dan Piala Malaysia sebagai ‘unifi Piala Malaysia’.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TM, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata pihaknya teruja meneruskan kerjasama dengan FMLLP dalam membangunkan sukan bola sepak tempatan dan membawa lebih banyak detik menarik dalam liga negara kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

“Seluruh peminat bola sepak di Malaysia kini boleh menonton setiap perlawanan dalam liga ini dan menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi kerana semua perlawanan akan disiarkan secara langsung melalui unifi TV dan menerusi semua skrin yang boleh diakses menerusi aplikasi unifi PlayTV,” katanya.

Sebagai rakan kongsi siaran, unifi TV menayangkan semua acara dan perlawanan, termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA serta siaran bersyarat bagi perlawanan Liga Perdana, Piala Cabaran dan perlawanan lain dianjurkan FMLLP.

Pengerusi FMLLP dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim, amat berbesar hati dengan termeterainya perjanjian kerjasama itu.

“Ia yang terbesar dalam sejarah sukan di Malaysia dan adalah bukti keyakinan TM terhadap sukan bola sepak dan liga Malaysia sebagai pemacu komersial dan perpaduan utama di negara ini,” titahnya.

CEO FMLLP, Kevin Ramalingam pula berkata, komitmen jangka panjang TM adalah satu gambaran mencerminkan nilai dan kemampuan liga bola sepak Malaysia.

“Kami amat berterima kasih kepada unifi, jenama yang akan mengemudi dan menyatukan seluruh rakyat untuk bersama menyokong pasukan kegemaran masing-masing,” katanya

Categories
SUKANKINI

Pasukan Liga M diminta patuh peraturan, elak dikena tindakan

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 JAN: Semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) diminta mematuhi peraturan ditetapkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) demi kebaikan bersama dan masa depan bola sepak Malaysia.

Dalam kenyataannya, FMLLP berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pasukan tidak mematuhinya seperti mana berlaku kepada sebahagian pasukan berkaitan.

Katanya, FMLLP sentiasa berhubung dengan setiap pasukan dan berusaha membantu sebaik mungkin termasuk pendaftaran tahunan pada awal musim termasuk deklarasi gaji telah dibayar termasuk KWSP, PERKESO dan cukai.

“Kita faham setiap pasukan memandang serius di atas perkara ini kerana telah melihat tindakan diambil sebelumnya.

“Demi kemajuan, kita tidak boleh memasuki musim baharu tanpa dokumen diperlukan,” katanya.

Untuk musim 2018, sekretariat FMLLP mencadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah bahawa pasukan tidak melengkapkan dokumen diperlukan, hanya menerima separuh pengagihan dana hak penyiaran dan tajaan tahunan.

Cadangan lain ialah pasukan tidak mengemukakan dokumen pendaftaran pada 31 Mac ini, akan dihukum dengan pemotongan mata dan sekatan perpindahan serta pasukan gagal mendapatkan lesen kelab untuk musim 2019 (tarikh tutup Jun ini) maka akan dihukum berdasarkan pasukan tanpa lesen.

“Bagi pasukan telah dikenakan hukuman sebelum ini pula, tiada pengagihan dana tahunan akan diberikan jika memulakan musim dengan dokumen tidak lengkap dan sekiranya berulang pada pada 31 Mac ini maka sekatan perpindahan akan dikenakan serta pemotongan mata.

“Sekiranya pasukan gagal mendapatkan lesen kelab disebabkan hutang tertunggak maka penamatan perjanjian perkongsian akan berkuatkuasa pada November ini.

“Oleh itu, ianya akan menjadi musim terakhir bagi pasukan terbabit menyertai dua peringkat tertinggi liga bola sepak di Malaysia,” katanya.

FMLLP menambah, bola sepak negara sekarang sedang menuju era lebih mantap dengan pengagihan hak siaran dan tajaan amat besar di bawah kepimpinan Pengerusinya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Categories
SUKANKINI

FMLLP-La Liga meterai MoU bangun bola sepak

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JAN: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dan La Liga memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembangunan aspek urustadbir dan teknikal pengurusan liga.

Dalam kenyataan, FMLLP memaklumkan majlis terbabit diadakan di Johor Bahru, hari ini dengan disempurnakan Pengerusinya, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Ketua Pembangunan Antarabangsa La Liga, Oscar Mayo Pardo.

“Perjanjian kerjasama ini berlangsung selama tiga tahun dengan menyaksikan La Liga dan FMLLP bekerjasama membangunkan blueprint 50 tahun untuk Liga Malaysia.

“Kedua-dua pihak juga menganjurkan seminar dan bengkel oleh pakar dengan memfokuskan kepada pengurusan sukan, pemasaran, pengurusan kewangan, keselamatan stadium, pembangunan sosial serta projek komuniti melalui tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

Melalui perjanjian persefahaman itu juga, dinyatakan La Liga akan memudahcara kepada pemain di liga berkenaan bermain di Malaysia serta berusaha mengatur perlawanan di antara pasukan di La Liga dan di Malaysia semasa pra musim.

“Selain itu, kedua-dua pihak akan memastikan usaha terbaik untuk mencapai integrasi pemain Malaysia di Sepanyol dan sebaliknya,” katanya.

La Liga adalah liga bola sepak profesional di Sepanyol.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Mustahil Selangor boleh guna Stadium Nasional Bukit Jalil

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 JAN: Stadium Nasional Bukit Jalil hampir mustahil boleh digunakan pasukan Selangor untuk dijadikan vanue tuan rumah sepanjang musim Liga Malaysia 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkata, pihak pengurusan stadium dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) telah berusaha untuk bekerjasama bagi mengkaji perkara ini.

Bagaimanapun katanya, ia adalah mustahil untuk memberi jaminan bahawa stadium tersebut tersedia sepanjang tahun.

“Pihak pengurusan stadium juga mengesahkan bahawa empat dari enam perlawanan pertama sebagai tuan rumah perlu dipinda untuk memenuhi jadual acara yang akan dilangsungkan di stadium tersebut.

“Mungkin lebih banyak lagi pindaan jika pasukan bola sepak kebangsaan atau acara antarabangsa membuat permintaan untuk menggunakan stadium nasional tersebut,” katanya.

Beliau berkata jika terdapat perubahan jadual pertandingan berpunca dari isu itu sudah tentu FMLLP akan dipersalahkan dan ia tidak bergerak seiringan ke arah penjadualan yang lebih stabil seperti diarahkan kepada pengurusan FMLLP.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab pasukan Selangor untuk menaik taraf lampu limpah tersebut bagi mematuhi piawaian ditetapkan FMLLP agar boleh beraksi di waktu malam.

“Kita mesti bergerak kehadapan jadi Selangor tidak boleh memberi alasan yang Stadium Selayang tidak boleh diguna pakai hanya disebabkan oleh lampu limpah yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan FMLLP.

“Pasukan seperti PJ Rangers (AirAsia) sanggup melabur untuk stadium MBPJ demi memastikan gelanggang tersebut lebih sesuai. Apatah lagi bagi sebuah pasukan Liga Super seperti Selangor,” katanya.

Categories
SUKANKINI

FMLLP nafi aksi Liga Malaysia sebelah petang satu penganiayaan

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JAN: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menafikan pasukan yang terpaksa beraksi di sebelah petang dalam Liga Malaysia kerana kegagalan menyediakan lampu limpah mengikut spesifikasi ditetapkan sebagai satu bentuk penganiayaan.

Menerusi kenyataan di laman facebook, FMLLP berkata, kesemua pasukan dimaklumkan mengenai perkara itu supaya boleh mengambil tindakan segera termasuk dalam kes Stadium Darul Makmur yang menjadi gelanggang pasukan Pahang.

Katanya, Pahang dibenarkan beraksi di sebelah malam selepas lulus pemeriksaan ulangan bersama dengan wakil pihak stadium serta wakil pasukan pada 12 Januari lalu.

“Dalam kes Pahang, pemeriksaan pertama lampu limpah dijalankan FMLLP pada 16 Disember 2017 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

“Hasil pemeriksaan tersebut didapati 6 dari 15 lokasi lampu limpah tersebut tidak melepasi syarat 1200 lux ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, FMLLP menerusi suratnya kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) turut memaklumkan venue tersebut gagal bermain pada sebelah malam dan dimainkan pada sebelah petang (sepak mula 4.45 petang), pada 20 Disember 2017 .

“Dalam surat tersebut juga FMLLP memaklumkan jika PBNP ingin membuat pemeriksaan ulangan, ia boleh dibuat 14 hari sebelum tarikh sepak mula Liga Malaysia 2018. Pihak PBNP telah memberi maklumbalas dengan memohon pemeriksaan ulangan dibuat pada 12 Januari 2018,” katanya.

Menurut FMLLP, keputusan pemeriksaan ini bukan sesuatu yang boleh ditipu atau direka selain berharap tiada pihak menggunakan semua keputusan atau tindakan demi kepentingan sendiri.

Bagaimanapun, FMLLP mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan stadium serta PBNP yang telah berusaha memastikan pemeriksaan kedua lulus mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Adalah penting bagi PBNP dan juga FMLLP untuk memastikan perlawanan liga dapat dimainkan pada waktu malam yang mana boleh mencapai tahap kehadiran penonton yang tinggi, seterusnya menambah nilai untuk pasukan dan liga.

“Tidak mungkin pasukan akan dipaksa bermain pada sebelah petang semata-mata untuk dianiayai,” katanya.

Categories
SUKANKINI

FMLLP: Pasukan Liga M wajib daftar pemain sebelum 14 Januari

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 JAN: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menetapkan semua pasukan wajib mendaftar sekurang-kurangnya 20 pemain bagi menghadapi Liga Malaysia 2018 sebelum 14 Januari ini.

Dalam kenyataannya, FMLLP menyatakan ia adalah bagi fasa pertama untuk semua pasukan berbuat demikian sebagai persediaan memulakan cabaran liga musim ini.

“Bagaimanapun pasukan masih diberikan masa sehingga 11 Februari untuk melengkapkan pendaftaran pemain sebelum ia ditutup secara rasmi sepenuhnya.

“Jumlah maksimum hanya 30 pemain sahaja boleh didaftarkan dan tarikh pendaftaran pemain buat kali kedua akan dibuka semula pada 14 Mei hingga 10 Jun nanti,” katanya.

Liga Malaysia musim ini akan membuka tirainya dengan menemukan juara Liga Super 2017, JDT dan juara Piala FA 2017, Kedah bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, 3 Februari ini.