Categories
SUKANKINI

Piala FA: Peminat bola sepak Selangor dan KL disaran guna LRT dan MRT

KUALA LUMPUR 22 MAC: Peminat pasukan bola sepak Selangor dan Kuala Lumpur disaran menggunakan perkhidmatan MRT dan LRT untuk menonton perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sebelum ini, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, dipilih sebagai venue tuan rumah pasukan Kuala Lumpur dan Selangor bagi cabaran musim tahun ini.

Rapid KL dalam satu kenyataan menasihati para penyokong Kuala Lumpur dan Selangor menggunakan perkhidmatan MRT Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) bagi menyaksikan pasukan kegemaran mereka bermain di stadium itu.

Walau dari manapun memulakan perjalanan, para peminat hanya perlu pergi ke stesen MRT SBK terdekat dan meneruskan perjalanan ke Stesen MRT Cochrane untuk mengambil bas perantara T400 (Cochrane – Bandar Tun Razak) dan terus ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Tambang untuk bas perantara adalah RM1 satu perjalanan.

“Bas perantara berkenaan mempunyai hentian khusus di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekali gus menyediakan perjalanan selesa untuk para peminat tanpa perlu memandu dan mengharungi kesesakan lalu lintas serta kepayahan mencari tempat parkir kereta di stadium,” menurut Rapid KL.

Bagi pengguna perkhidmatan LRT pula, peminat boleh turun di Stesen LRT Maluri yang berhubung dengan Stesen MRT Maluri kerana bas perantara itu turut mengambil penumpang di situ.

Peminat turut boleh menggunakan perkhidmatan parkir dan gerak (park and ride) yang disediakan di Stesen MRT dan Stesen LRT terpilih dan meneruskan perjalanan menaiki tren.