OLEH HAFIZAN TAIB
IPOH, 10 MAC: Australia menerus rentak kejaguhan dengan mengalahkan Argentina 3 – 1 dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini, semalam.
Juara dunia itu yang sudah mengesahkan tempat ke final, mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan dengan mengutip 15 mata penuh pada kejohanan kali ini.
Argentina selaku juara Olimpik bagaimanapun tidak memberi laluan mudah kepada Australia apabila mendahului dengan gol Gonzallo Peillat pada minit ke 21 menerusi pukulan sudut penalti.
Skuad Aussies memulakan kebangkitan dengan jaringan Aaron Kleinschmidt lima minit kemudian bagi menyamakan kedudukan.
Australia terus menghampakan Argentina pada penghujung perlawanan dengan memperoleh dua gol melalui Trent Mitton (m55) diikuti Kleinschmidt seminit selepas itu.
Keputusan itu mengetepikan harapan Argentina ke final apabila sekadar mengutip tujuh mata.
Dalam satu lagi perlawanan, Ireland meraih kemenangan pertama dengan mengalahkan India 3 – 2.
Gol pasukan itu dijaringkan Shane O’Donoghue, Sean Murray dan Lee Coly manakala India melalui Ramandeep Singh dan Amit Rohidas.
Kredit Foto: Harian Metro